Home Ekonomi Untung Petronas jatuh 27 peratus

Untung Petronas jatuh 27 peratus

Wan Zulkiflee Wan Ariffin

KUALA LUMPUR- Petronas merekodkan penurunan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak 27 peratus kepada RM240.3 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 berbanding RM55.3 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Prestasi lemah itu disumbang oleh penurunan pendapatan serta rosot nilai bersih aset berjumlah RM7.3 bilion namun begitu diimbangi oleh cukai yang lebih rendah.

Perolehan syarikat petroleum menyusut empat peratus kepada RM240.3 bilion berbanding RM251 bilion yang dicatatkan pada tahun kewangan 2018.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, 2019 adalah tahun yang mencabar kepada Petronas didorong oleh harga minyak mentah global yang tidak stabil serta perang perdagangan AS-China.

Kemerosotan lapangan minyak juga menjadi penyumbang utama penyusutan perolehan manakala penularan wabak Covid-19 menambah cabaran kepada syarikat tersebut.

“Tahun 2020 kekal sukar kepada industri tetapi Petronas mahu memberi fokus kepada strategi tiga serangkai yang telah berjaya berdepan dengan cabaran sebelum ini selain merangsang kami menjadi sebuah syarikat tenaga bersepadu,” katanya semasa mengumumkan prestasi kewangan Suku Keempat 2019 dan keseluruhan 2019 di sini hari.

Bagi suku terakhir 2019, Petronas merekodkan PAT sebanyak RM4.1 bilion, jatuh 71 peratus berbanding RM14.3 bilion tempoh sama 2018 didorong oleh kemerosotan pendapatan dan rosot nilai.

Pendapatan jatuh lapan peratus kepada RM64 bilion berbanding RM69.9 bilion yang dicatatkan pada suku keempat 2018 akibat penyusutan purata harga sebenar produk utama.

Tambah Wan Zulkiflee, modal pelaburan atau perbelanjaan modal Petronas pada suku keempat 2019 berjumlah RM18.8 bilion disumbang oleh projek-projek huluan; gas dan tenaga baharu dan hiliran. -MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.