Home Nasional NGO gesa YDPA bubar Parlimen

NGO gesa YDPA bubar Parlimen

Gerakan Tuntut Malaysia (Tuntut) menggesa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membubarkan parlimen di perkarangan Istana Negara hari ini.

KUALA LUMPUR – Gerakan Tuntut Malaysia (Tuntut) menggesa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membubarkan parlimen bagi mengatasi kemelut pentadbiran negara sejak Isnin lalu.

Pengerusinya, A’zlan Abu Bakar menegaskan gesaan itu berasas susulan blok Pakatan Harapan (PH) dan blok Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak mempunyai majoriti kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan.

“Asas kita memohon YDPA membubarkan Parlimen, apabila ahli-ahli Parlimen dalam blok tertentu tidak mempunyai jumlah majoriti.

“Ia akan menyumbang kepada ketidakstabilan politik akan datang. Keadaan seperti akan berulang dan berlaku semula.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai hanya 92 kerusi Parlimen sahaja, dan ia tidak mencukupi sebelum beliau diangkat sebagai Perdana Menteri Kelapan,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Istana Negara hari ini.

Isnin lalu, pentadbiran Kerajaan PH menjadi goyah dan hanya bertahan kurang dua tahun susulan peletakkan jawatan Mahathir sebagai Perdana Menteri Ketujuh.

Dalam pada itu, A’zlan menegaskan langkah membubarkan Parlimen lebh sesuai daripada menubuhkan Kerajaan Campuran kerana Mahathir gagal menangani pergolakan dalaman PH sebelum ini.

“Percaturan politik ini akhirnya mendatangkan musibah kepada rakyat bukan saja terkesan kepada politik semata-mata bahkan kepada ekonomi disebabkan oleh ketidakstabilan politik pada hari ini.

“Saya menyeru kepada rakyat Malaysia agar kita akur dengan segala keputusan yang akan ditetapkan dalam mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu yang berlaku esok hari,” katanya lagi. – MalaysiaGazette