KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta memantau ‘pembelian’ ahli-ahli Parlimen mutakhir ini.
Perkara itu ditegaskan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nasruddin Hassan apabila memberitahu, perkara itu berkemungkinan berlaku dalam situasi ini apabila tidak ada parti yang memiliki sekurang-kurangnya majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.
“Saya menggesa agar pihak SPRM serius memantau perkembangan ini, apakah ia suatu yang benar-benar berlaku?
“Jangan berlebih kurang atau sambil lewa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Nasruddin berkata, sekiranya ia benar-benar berlaku, ia sudah tentu merupakan sesuatu yang sangat malang bagi nilai integriti kepimpinan negara ini.
Ujarnya, bukan sahaja tidak layak, malah perkara itu mampu meruntuhkan kewibawaan kepimpinan dan kerajaan jika ia dibentuk dari pemimpin yang dibeli.
“Kerajaan yang dibentuk dari gandingan pemimpin yang boleh dijual beli juga adalah sebuah kerajaan yang tidak bermaruah dan tiada nilai, lemah serta rapuh,” ujarnya. – MalaysiaGazette