KUALA LUMPUR – Rakyat diminta supaya menyokong penuh sebarang keputusan yang akan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong dalam usaha menyelesaikan kemelut politik yang berlaku sejak beberapa hari lalu.
Ini kerana, keputusan yang dibuat oleh baginda merupakan jalan terakhir dalam mencari penyelesaian tersebut, sekali gus melenyapkan keresahan rakyat.
Presiden Pertubuhan Majlis Permuafakatan Ayahanda Malaysia (Permas), Datuk Ismail Awang berkata, meskipun institusi beraja tidak sepatutnya diheret dalam perkara melibatkan politik, namun ia adalah jalan terbaik bagi merungkai kemelut ketika ini agar tidak berpanjangan.
Lantaran itu, institusi diraja wajar diberikan kuasa untuk membuat keputusan.
“Kita menyokong penuh apa jua tindakan Yang di-Pertuan Agong akan buat. Kita nak institusi raja-raja ini dihormati.
“Biarlah Agong yang buat keputusan dan kita sebagai rakyat kena terima keputusan itu,” katanya pada sidang media bersama NGO berbaiah di sini hari ini.
Ismail berkata, rakyat terutamanya orang Melayu perlu memberikan sokongan mereka kerana Malaysia merupakan sebuah negara berdaulat yang menjunjung tinggi Perlembagaan dan institusi raja.
Ujarnya, orang Melayu perlu melakukan sesuatu demi kesejahteraan dan ia termasuklah menyokong penuh keputusan yang dibuat oleh Agong.
Dalam pada itu, Ismail berkata, sekiranya perkara itu tidak juga dapat diselesaikan atau menemui jalan buntu, satu memorandum cadangan penyelesaian akan dihantar oleh Permas kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dipertimbangkan.
Langkah itu perlu bagi mengelakkan ada pihak yang cuba menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dengan menggunakan cara-cara tertentu.
“Jika ada yang buat begitu, maka kami ini akan bangkit sebagai benteng pertama kepada Yang di-Pertuan Agong,” tambahnya. – MalaysiaGazette
Kalau x sokong, apa kami rakyat blh buat? Kalau politician main game, kami terimalah shj. Kalau nnt mereka beli membeli AP, kami cuma mampu bersuara.
Tp ketika institusi diraja dihina, kami jugalah yg bangkit mempertahankan semua Raja. Tp apakan daya, ketika kami bersuara, suara kami x kedengaran. Yg kuat ialah suara AP. Kami rakyat jelata, sekadar mentimun. Akurlah shj…