KUALA LUMPUR- Isu penggantungan sementara visa umrah oleh kerajaan Arab Saudi susulan penularan wabak Covid-19 adalah selari dengan hadis nabi.
Dengan itu, Mufti Wilayah Kuala Lumpur Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohd. Al-Bakri mengucapkan tahniah kepada kerajaan Arab Saudi kerana telah mengambil tindakan yang tepat.
“Isu penggantungan sementara visa umrah oleh kerajaan Arab Saudi disebabkan oleh COVID-19 adalah selari dengan hadith yang dibacakan oleh Abd al-Rahman bin Auf R.A kepada Saidina Umar R.A berkenaan wabak. Tahniah kepada kerajaan Arab Saudi atas tindakan yang tepat.
“Insya-Allah semoga para jemaah umrah akan dapat kembali ke Mekah dan Madinah dengan selamat. Semoga Allah SWT hindarkan kita semua dan selamatkan daripada wabak ini. Amin,” katanya dalam satu ciapan di Twitter hari ini.
Agensi Berita Saudi melaporkan, Kerajaan Arab Saudi melalui Kementerian Luar negara itu mengambil keputusan untuk menggantung sementara pengeluaran visa umrah sebagai usaha pencegahan berikutan penularan COVID-19.
Menurut kementerian itu, langkah berkenaan bagi memberikan perlindungan sepenuhnya terhadap keselamatan penduduk dan setiap individu yang berhasrat mengunjungi Arab Saudi bagi tujuan mengerjakan umrah atau menziarahi Masjid Nabawi atau sekadar melancong.
“Prosedur ini hanya bersifat sementara dan tertakluk kepada penilaian semasa pihak berkuasa Arab Saudi,” jelas kenyataan itu.
Ini menyebabkan kira-kira 15,000 hingga 20,000 jemaah Malaysia yang bakal berangkat ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah pada Mac dijangka terjejas berikutan pendaftaran visa dalam talian disekat sekitar tengah hari tadi.
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji, Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, setakat ini, tiga negara iaitu Malaysia, Brunei dan Singapura, didapati telah disekat pendaftaran visa dalam talian.
Beliau berkata bakal jemaah yang gagal mendapatkan visa tidak akan dapat menunaikan ibadat berkenaan.-MalaysiaGazette