Home Nasional Rokok seludup Canyon bernilai RM2 juta dirampas

Rokok seludup Canyon bernilai RM2 juta dirampas

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani. foto FAREEZ FADZIL, 06 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Polis berjaya merampas 2,510,000 batang rokok seludup berjenama Canyon bernilai RM2, 058 juta dalam satu operasi di Kajang semalam.

Bertindak atas maklumat awam, Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Khas (PGK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman melakukan operasi tersebut.

Pengarah KDNKA, Komisioner Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, operasi itu dilancarkan ke atas satu sindiket pengedaran rokok seludup yang bergiat aktif di Semenanjung Malaysia.

“Operasi berkenaan telah berjaya membawa kepada penahanan tiga orang lelaki warga tempatan dan tiga warga Myanmar berumur antara 26 dan 52 tahun untuk siasatan lanjut.

“Salah seorang suspek memiliki rekod jenayah lampau,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru katanya, polis turut berjaya merampas tiga buah kenderaan iaitu dua lori Isuzu dan Hino serta sebuah kereta Proton Persona.

Ujar beliau keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sekitar RM2,188,200.

“Kesemua suspek telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang selama enam hari bermula hari ini hingga 4 Mac dibawah Seksyen 116 (c) Akta Kastam 1967 untuk siasatan lanjut.

“Kes turut disiasat dibawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967,” tegas beliau.-MalaysiaGazette