Home Utama Tiada mesyuarat khas Dewan Rakyat Isnin ini

Tiada mesyuarat khas Dewan Rakyat Isnin ini

Mohamad Ariff Md Yusof

KUALA LUMPUR – Tiada mesyuarat khas Dewan Rakyat bagi proses pemilihan Perdana Menteri pada hari Isnin ini, kata Speaker, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof,

Menurut beliau, keperluan untuk mengadakan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat akan dibuat selepas mendapat pemakluman titah rasmi daripada Yang di-Pertuan Agong.

Dalam satu kenyataan, Mohamad Ariff berkata, beliau akan terus meneliti perkembangan semasa dan kenyataan seterusnya tentang notis dan tarikh mesyuarat khas akan dimaklumkan.

Beliau memberitahu, pihaknya telah menerima surat pemakluman memanggil mesyuarat khas Dewan Rakyat yang ditandatangani oleh Perdana Menteri Interim bahawa kerajaan bersetuju supaya Dewan Rakyat dipanggil bermesyuarat pada Isnin ini, 2 Mac 2020.

Namun, beliau mendapati surat berkenaan tidak menepati Peraturan Mesyuarat 11(3) oleh kerana tidak disusuli dengan pemberitahuan usul yang lengkap.

“Mengikut Peraturan Mesyuarat 11(3) pemberitahuan dan tarikh mesyuarat akan dikeluarkan oleh saya selaku Yang Di-Pertua Dewan Rakyat.

“Setakat ini tiada notis dikeluarkan,” kata beliau. – MalaysiaGazette