Home Nasional UMNO adakan mesyuarat petang ini

UMNO adakan mesyuarat petang ini

Gambar Hiasan. foto SYAFIQ AMBAK, 05 DISEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan mengadakan mesyuarat petang ini di ibu pejabatnya di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.

Perkara itu dimaklumkan petugas di bangunan berkenaan kepada MalaysiaGazette ketika melakukan tinjauan bagi mengikuti perkembangan krisis politik negara yang sudah masuk hari ke enam.

Difahamkan, mesyuarat tersebut akan berlangsung pukul 3 petang, namun tidak dapat dipastikan agenda yang akan dibentangkan.

Sementara itu, tinjauan di Ibu Pejabat Pas di Jalan Raja Laut mendapati, pintu masuk utama ke bangunan berkenaan bertutup rapi dan berkunci.

Seorang petugas di bangunan tersebut yang enggan dikenali memberitahu, sejak berlakunya kemelut politik minggu lalu, belum ada sebarang aktiviti mahupun sidang media diadakan di ibu pejabat berkenaan.

Katanya, hanya beberapa orang pemimpin parti sahaja yang datang untuk melakukan urusan tertentu, namun ia hanyalah sekadar tugasan rasmi harian.

Bagaimanapun, aktiviti oleh kakitangan di pejabat itu tetap berjalan seperti biasa.

Tun Dr Mahathir Mohamad yang meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Isnin lalu menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan dalam tempoh masa yang singkat.

Perkara itu telah menimbulkan pelbagai sentimen dalam kalangan rakyat. Beliau  kemudianya dilantik semula oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri Interim.

Pelantikan seorang Perdana Menteri terletak pada kuasa dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong seperti tertera di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette

+ posts