KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata walaupun apa yang berlaku dalam politik hari ini, UMNO dan Tun Dr Mahathir Mohamad boleh lagi dianggap sebagai keluarga.
Annuar mengeluarkan kenyataan meredakan perselisihan antara Perikatan Nasional dengan Dr Mahathir yang kini kembali menyertai Pakatan Harapan (PH).
“Jangan terlalu gembira berlebihan, kita masih satu keluarga (dengan Dr Mahathir). Ini satu proses biasa.
“Yang penting segala-galanya berjalan dengan baik, jangan terlampau teruja. Ke hadapan banyak lagi untuk membantu Perdana Menteri. Rakyat dan negara kena diutamakan,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan kediaman Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.
Istana Negara hari ini mengumumkan pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan mengatasi Dr Mahathir yang dicalonkan oleh PH.
Mengulas lanjut Annur berkata, kejayaan Muhyiddin dan Perikatan Nasional membentuk kerajaan haruslah disyukuri kerana ia telah berjaya menghentikan pergolakan politik yang melanda negara sejak minggu lalu.
“Yang penting masalah pelantikan Perdana Menteri ini selesai mengikut peraturan dan Perlembagaan, rakyat tidak lagi dalam keadaan tertanya dan yang lain-lain, biarlah Presiden parti maklumkan,” katanya. – MalaysiaGazette