Home Nasional Tun M ada kuasa mutlak dalam Bersatu – Marzuki Yahya

Tun M ada kuasa mutlak dalam Bersatu – Marzuki Yahya

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Krisis politik tanah air makin berserabut.

Hari ini selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan dirinya sebagai calon Perdana Menteri kelapan dan sekali gus bersaing dengan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya mengeluarkan satu kenyataan media berhubung kuasa mutlak Pengerusi parti tersebut.

Antara lain ia menyebut Pengerusi Bersatu iaitu Dr. Mahathir menjadi satu-satunya individu yang mempunyai kuasa mutlak memimpin parti berkenaan.

Ini termaktub dalam Fasal 16.2 Perlembagaan Bersatu yang menyebut Tugas-tugas Pengerusi:

16.2.1 Menjadi Pengerusi dan Pemimpin Utama parti yang bertanggungjawab menjamin kelicinan keseluruhan perjalanan pentadbiran dan dasar parti; dan

16.2.2 Memanggil dan mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi.

“Maka selari dengan prinsip kedaulatan undang-undang dan perlembagaan parti, satu-satunya individu yang mempunyai kuasa mutlak memimpin parti adalah Pengerusi Parti Bersatu Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Oleh yang demikian, segala tindak tanduk dan arahan parti adalah tertakluk kepada keputusan Tun sebagai Pengerusi Bersatu,” katanya. – MalaysiaGazette