Home Utama Muhyiddin tiba di Istana Negara

Muhyiddin tiba di Istana Negara

Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Istana Negara untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-8 di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 01 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Istana Negara pada jam 9.50 pagi untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 pagi ini.

Beliau yang tiba dengan menaiki kereta Proton Perdana bernombor pendaftaran W9R ditemani isteri, Puan Seri Norainee Abdul Rahman.

Muhyiddin sempat melambaikan tangan kepada sekumpulan petugas media yang menunggu di pekarangan Istana Negara sejak pukul 8 pagi tadi.

Beliau akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-8 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Semalam, Istana Negara menerima senarai pencalonan nama-nama bakal Perdana Menteri daripada ketua-ketua politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Rakyat yang bebas.

Ia proses lanjutan titah Yang di-Pertuan Agong  yang mahu ketua-ketua parti politik dan ahli Dewan Rakyat yang bebas mengemukakan pencalonan nama ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri.

Istana Negara kemudiannya menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri, sekaligus menamatkan kemelut politik yang berlaku sejak minggu lepas. – MalaysiaGazette