Home Utama Tun M salahkan Muhyiddin, Anwar punca beliau gagal jadi PM

Tun M salahkan Muhyiddin, Anwar punca beliau gagal jadi PM

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berjalan keluar selepas mengadakan pertemuan dengan Armada di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 01 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad menafikan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi punca ‘pengkhianatan’ oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Pakatan Harapan (PH).

“Dia (Muhyiddin) nak cari alasan untuk krisis sahaja,” katanya dan mendakwa yang sebenarnya Muhyiddin memang merancang untuk menjadi perdana menteri.

Buktinya, semasa mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PH, Mahathir diberitahu Anwar akan mendesak untuk menjadikan Timbalan Perdana Menteri namun Presiden PKR itu tidak berbuat demikian.

Malah Anwar dan pemimpin di dalam PH yang lain bersetuju mengekalkannya menjadi perdana menteri.

Bagaimanapun selain Muhyiddin, Mahathir tetap menyalahkan Anwar sebagai punca beliau tidak dilantik menjadi perdana menteri kelapan.

Menurutnya, Anwar tidak dapat menjadi perdana menteri kerana ramai yang tidak lagi menyokongnya.

“Anwar memang dia gila-gila nak jadi PM, dia tak boleh jadi (PM) pasal entah macam mana kalau dulu ramai sokong dia, sekarang ini ramai sokong saya.

“Saya amat sedih kerana saya kalah dalam pemilihan ini kerana dia (Anwar) minta pada PH supaya namakan dia sebagai calon (PM) PH.

“Kalau tak, saya dah dapat 90 undi dan tambah 60 undi, saya boleh dapat majoriti jadi (PM) kerana dia tuntut untuk jadi calon, walaupun dia sepatutnya tak boleh dapat, tetapi dia tuntut.

“Saya tak berkelahi dengan beliau (Anwar) cuma cerita benda yang betul,” katanya demikian selepas bertemu dengan Armada dan ahli-ahli parti di Yayasan Kepimpinan Perdana Putra petang tadi.

Berbalik kepada Muhyiddin, beliau sedih kerana Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu sanggup bekerjasama dengan pembangkang terutama UMNO semata-mata mahu menjadi perdana menteri seperti sekarang.

Menurutnya, dalam gabungan itu, UMNO menjadi parti dominan.

“Saya tanya Muhyiddin, sanggupkah nak kerjasama dengan pemimpin penyangak (UMNO), dia kata ya, dia sanggup.

“Saya terkejut, kalau dua tiga orang UMNO saya sedia tapi itu diketepikan, dia (Muhyiddin) datang jumpa saya, saya tanya, sanggup kerjasama dengan UMNO secara en bloc, dia kata sanggup.

“You sanggup jadi PM, dia kata ya. Dulu sampai biru muka tak nak jadi PM tapi bila tahu saya tak nak, dia calon dirinya,” katanya lagi.

Beliau juga menyatakan pihaknya akan membuat usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri selain mengambil tindakan mahkamah. – MalaysiaGazette