Home Politik Usul undi tak percaya kalau mahu cabar keputusan Agong

Usul undi tak percaya kalau mahu cabar keputusan Agong

Kamaruzaman Mohamad
Ketua Penerangan Pas Pusat, Kamaruzaman Mohamad

KUALA LUMPUR – Jika benar Pakatan Harapan mahu mencabar keputusan Yang di-Pertuan Agong yang melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan, gabungan itu digesa menggunakan saluran yang dibenarkan seperti mengusulkan undi tidak percaya di Parlimen.

Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad meminta Pakatan Harapan (PH) agar tidak bertindak di luar batasan perundangan sehingga sanggup menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, pelantikan Muhyidin sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan telah memberi ketenangan kepada rakyat Malaysia yang resah dengan pergolakan dan krisis yang berlaku.

Namun kebijaksanaan Tuanku ini telah dicabar oleh Pakatan Harapan yang kononnya mendakwa mendapat suara majoriti ahli parlimen yang menyokong Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri kelapan.

“Jika sebelum ini negara dikejutkan dengan perebutan jawatan Perdana Menteri yang membawa kepada polemik hari ini, disusuli dengan ‘u-turn’ dan ‘flip flop’ Pakatan Harapan sepanjang proses pelantikan Perdana Menteri, mereka juga lah yang membuat onar seolah mencabar keputusan yang telah dibuat Yang di-Pertuan Agong.

“Hakikatnya selama tujuh hari negara mengalami krisis politik, Yang di-Pertuan Agong telah menggunakan budi bicara dengan begitu teliti bagi menyelesaikan isu ini dalam masa yang sama menjaga keamanan negara daripada sebarang tindakan luar kawalan oleh rakyat yang boleh mendatangkan kekecohan,” katanya yang melahirkan rasa kesyukuran Pas dengan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam menangani kemelut politik negara. – MalaysiaGazette