Home Nasional Bila YDPA buat keputusan, rakyat kena akur – Rani Kulup

Bila YDPA buat keputusan, rakyat kena akur – Rani Kulup

Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) hari ini membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook bernama Aaron Yee kerana menghina Yang di-Pertuan Agong (YDPA) di media sosial.

Presidennya, Abdul Rani Kulup Abdullah menegaskan, polis perlu mengambil tindakan segera kerana pemilik Facebook itu kerana individu itu bukan sahaja menghina bahkan menyerang baginda dengan kata-kata lucah.

“Kenapa nak hina YDPA? Jangan hina YDPA. Sebagai rakyat Malaysia, kita ada Rukun Negara, di mana YDPA satu kedudukan utama dan berkuasa dalam pentadbiran negara.

“Kenapa nak bantah, kenapa nak hina, memang dia cari maut. Bila Agong buat keputusan, kena akur.

“Malah terdapat dalam laman sosial, ada hingga empat pemilik Facebook menghina Agong,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

Abdul Rani Kulup Abdullah
Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah (MJMM) Abdul Rani Kulup Abdullah selepas membuat laporan polis tentang penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, seorang pemilik akaun Facebook dengan nama ‘Aaron Yee’ telah ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan berhubung status berunsur penghinaan terhadap YDPA, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menerusi satu kenyataan media, lelaki berusia 35 tahun itu akan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Antara akaun lain didakwa menghina YDPA yang dikenalpasti ialah akaun Twitter Fadiah Nadwa Fikri, serta akaun Facebook dengan nama ‘Haizad Azhar’.

Siasatan diklasifikasikan di bawah seksyen 4(1) (a) Akta Hasutan iaitu kecenderungan menghasut serta seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Dalam pada itu, Abdul Rani Kulup merakamkan penghargaan kepada PDRM kerana pantas menangkap pihak yang menghina YDPA, semalam.

“Belum sempat ayah buat laporan polis, Aaron Yee sudah kena tangkap. Baguslah.

“Tangkapan ini bagi mengelakkan netizen menyalahgunakan laman sosial. Polis cekap bertindak elak mesej hina itu tidak ditularkan,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rani Kulup juga membidas pihak penganjur perhimpunan haram sejak dua hari lepas

“Semua ini nak kena cekup. Rakyat tahu negara kita sudah seminggu tiada kerajaan. Tapi rakyat tenang saja tiada masalah. Yang korang kelam kabut apa fasal. Di mana kesetiaan kepada raja dan negara?” soalnya.

Abdul Rani Kulup turut memberi amaran kepada pemimpin politik khususnya ahli-ahli Parlimen yang mengheret rakyat menyertai perhimpunan haram.

“Ayah nak beri amaran kepada YB-YB ini, jangan tarik rakyat pergi berdemo, dia orang kena tangkap, YB-YB langsung tak ambil tahu. Kalau mereka tak puas hati, tunggu Pilihan Raya Umum ke-15 nanti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette