Home Nasional Kebebasan ada batasan, demonstrasi bukan buat sesuka hati

Kebebasan ada batasan, demonstrasi bukan buat sesuka hati

Tan Sri Abdul Hamid Bador

KUALA LUMPUR – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menggunakan kebebasan bersuara untuk turun berdemonstrasi di jalan raya diingatkan supaya merujuk undang-undang di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, polis tidak menyekat mana-mana pihak atau individu berkumpul dan menyatakan suara.

“Bayangkan, kalau 10 NGO mengadakan demonstrasi tanpa memberitahu polis tanpa beri peluang mengaturkan aspek keselamatan dan kawalan trafik jalan, ia hanya akan mengeruhkan keadaan dan mengelak pertembungan sesama kumpulan, baling membaling dan rusuhan.

“Kamu boleh buat apa sahaja tetapi ada peraturan juga yang perlu diikut, itu bukan cengkaman dari polis kerana kami perlu diberi peluang memastikan acara yang hendak dijalankan itu sebelum bermula membuat persediaan kawal lalu lintas dan keselamatan semua.

“Polis tak mahu lagi menyekat,jaga mulut yang nak sabotaj macam-macam, bayangkan kepentingan orang awam yang tak terlibat diganggu sehingga jalan sesak,” katanya dalam sidang media lawatan Hormat Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendy Buang ke Bukit Aman hari ini.

Abdul Hamid mengulas mengenai tindakan Bersih dan beberapa aktivis Lawyer for Liberty yang mendesak polis membebaskan kesemua individu yang ditahan selepas turun berhimpun di Dataran Merdeka tanpa permit di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 semalam.

Mereka menyuarakan rasa tidak puas hati selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan selepas diperkenan Yang diPertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara semalam.

“Kenapa nak buat di tengah bandar sedangkan kami tawarkan padang besar yang boleh menghimpunkan beribu orang secara bebas berkumpul dan bersuara. Kalau kamu dapatkan kebenaran tuan punya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengikut undang-undang semuanya selamat dan terurus.

“NGO-NGO jadilah pihak yang bertanggungjawab dan kasihanilah orang ramai yang tidak bersalah yang mahu meneruskan aktiviti harian, bila berlaku huru hara siapa nak untung, jangan degil dan patuh undang-undang yang ada,” tegasnya.-MalaysiaGazette