Home Nasional Tiada kes baharu Covid-19, proses jejak kontak Pengerusi UDA diteruskan

Tiada kes baharu Covid-19, proses jejak kontak Pengerusi UDA diteruskan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan mengesahkan tiada kes terbaharu Covid-19 dilaporkan pada hari ini, sekali gus jumlah kes keseluruhan kekal 29 namun 22 daripadanya telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang ke rumah.

Tujuh kes lagi masih mendapatkan rawatan di hospital.

Berhubung dakwaan terdapat dua kenamaan mempunyai kontak dengan kes ke-26, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, siasatan sedang dijalankan dan dalam masa yang sama langkah-langkah wajar turut dilaksanakan.

Tambahnya, pesakit masih lagi menerima rawatan di wad isolasi Hospital Sungai Buloh dan berada dalam keadaan stabil.

Lima daripada ahli keluarga rapat, seorang pembantu peribadi kepada pesakit dan seorang kakitangan penjagaan kesihatan swasta telah disahkan negatif Covid-19.

Siasatan dan penjejakan kontak masih diteruskan.

Kes ke-26 adalah melibatkan Pengerusi Uda Holdings, Datuk Hisham Hamdan yang mempunyai sejarah perjalanan ke Shanghai, China pada pertengahan Januari lalu.

Beliau mengalami gejala demam dan sakit tekak pada 27 Februari dan terus mendapatkan rawatan pesakit luar di sebuah hospital swasta.

Hisham disahkan positif Covid-19 pada 29 Februari dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan dan pemantauan lanjut.- MalaysiaGazette

Pak Wan, Hatta terdedah Covid-19, berborak lama dengan Pengerusi UDA