KUALA LUMPUR- Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) akan terus menilai pilihan-pilihan yang ada bagi menyelesaikan beberapa isu utama yang melanda Malaysia Airlines Bhd.
Menurut Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, ia telah menyenarai pendek empat daripada sembilan kertas cadangan yang diterima sejak tahun lepas.
“Bagi 2020, Khazanah akan terus berkerjasama rapat dengan kerajaan dan Malaysia Airlines untuk terus menyemak cadangan-cadangan yang telah dihantar dan memuktamadkan keputusan terhadap pilihan strategik paling sesuai untuk terus maju kehadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Shahril Ridza berkata, Khazanah telah berjaya mencapai keputusan berhubung penstrukturan kadar tol lebuh raya kendalian PLUS Malaysia.
Katanya, ia membolehkan PLUS masih kekal di bawah Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan kadar tol dikurangkan sebanyak 18 peratus dan dalam masa yang sama memberi penjimatan sebanyak RM42 bilion kepada kerajaan dalam tempoh konsesi baharu yang dilanjutkan kepada 2058.
Proses penstrukturan tersebut katanya berada di peringkat perbincangan dengan pemegang taruh untuk melaksanakan pindaan terhadap perjanjian sedia ada.- MalaysiaGazette