Home Nasional Bantah kerajaan pintu belakang: Episod hitam demokrasi – Faiz Fadzil

Bantah kerajaan pintu belakang: Episod hitam demokrasi – Faiz Fadzil

Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Pemuda Amanah Nasional menyifatkan tindakan pihak polis yang memanggil penganjur perhimpunan membantah pelantikan Perdana Menteri kelapan sebagai episod hitam kepada demokrasi negara.

Timbalan Ketuanya, Muhammad Faiz Fadzil menegaskan, ia hanyalah satu tindakan untuk menakutkan rakyat daripada bangkit menyuarakan hak dan pilihan mereka dalam PRU14 lalu.

“Hari ini merupakan episod hitam dalam demokrasi negara selepas kerajaan pintu belakang terbentuk.

“Satu lagi tindakan menakut-nakutkan rakyat untuk tidak bangkit menentang kerajaan pintu belakang ini.

“Namun saya dan rakan-rakan serta seluruh rakyat Malaysia yang cintakan kebebasan dan demokrasi tidak akan tunduk kepada apa saja tekanan oleh pihak kerajaan,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Terdahulu beliau bersama enam pemimpin Pemuda Amanah, aktivis dan mahasiswa dipanggil ke IPD Dang Wangi untuk dirakam keterangan berhubung penganjuran perhimpunan haram di pekarangan Kompleks beli-belah Sogo, pada 1 Mac lalu.

Kesemua pimpinan Pemuda Amanah dan aktivis itu disiasat di bawah Seksyen 95 Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

Dalam pada itu, ADUN Permatang Pasir itu juga berkata, ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara, rakyat bebas berhimpun dengan aman tanpa sebarang tindakan.

“Sepanjang pentadbiran kerajaan PH di mana rakyat bebas untuk berhimpun.

“Ada beberapa perhimpunan diadakan tanpa dikenakan apa-apa tindakan pihak polis.

“Kerajaan PH berpegang kepada prinsip demokrasi dan keadilan, beza dengan kerajaan pintu belakang ini.

“Mereka terkenal dengan sikap intimidasi politik menakutkan rakyat, menggunakan polis dan pihak berkuasa bagi menghalang kebangkitan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

3 Komen

Comments are closed.