KUALA LUMPUR- Pengurangan kadar faedah yang diumumkan Bank Negara Malaysia semalam mampu merangsang aktiviti pelaburan dan penggunaan dengan disokong pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan minggu lepas.
Menurut Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Dr. Afzanizam Abdul Rashid, penurunan kadar dasar semalaman (OPR) itu adalah satu langkah yang positif dan telah dijangkakan.
“Penurunan OPR adalah sesuatu yg positif memandangkan ianya bakal menyuntik keyakinanan bahawa dasar monetari yang akomodatif akan menyokong pertumbuhan ekonomi melalui kos pinjaman yang kompetitif.
“Seharusnya aktiviti pelaburan dan penggunaan dapat digalakkan melalui pengurangan OPR disamping pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi yang telah diperkenalkan baru2 ini,” katanya.
Menyentuh kepada impak penurunan OPR kepada bank, Afzanizam berkata, ia akan memberikan kesan kepada keuntungan bank bagi tempoh sementara sahaja.
“Impak kepada bank adalah pengurangan dari segi Net Income Margin (NIM) atau Net Interest Margin bagi bank konvensional.
“Ini adalah berikutan pinjaman yang berkadar berubah akan diturunkan hampir serta merta manakala kadar deposit tetap mengambil masa memandangkan terdapatnya tempoh matang. “Perbezaan ini akan memberi kesan keuntungan bank bagi tempoh sementara sahaja. Selepas kadar simpanan diubah, maka NIM akan kembali normal,” katanya lagi.
Semalam, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia mengumumkan penurunan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus.
Dengan itu, kadar koridor tertinggi dan terendah bagi OPR masing-masing diturunkan kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus.
Bank pusat itu dalam satu kenyataan menjelaskan, keadaan ekonomi global telah merosot dalam tempoh kebelakangan ini dengan penularan Covid-19 telah mengganggu aktiviti pengeluaran dan aktiviti yang berkaitan dengan perjalanan, terutamanya di rantau ini.
Situasi yang mendorong kepada kegiatan penghindaran risiko yang lebih ketara ini mengakibatkan keadaan kewangan menjadi lebih ketat dan menyebabkan kemunculan semula kemeruapan pasaran kewangan.
Tambahnya, risiko kepada prospek pertumbuhan global telah meningkat terutamanya dalam tempoh terdekat.-MalaysiaGazette