KUALA LUMPUR – Kewujudan Perikatan Nasional (PN) tidak bermakna Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional (MN) akan diketepikan sebaliknya kerjasama dalam kalangan parti-parti yang bergabung di bawah MN akan terus diperkasakan.
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, sekretariat MN telah pun memulakan operasi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang menjadi platform untuk UMNO dan Pas merangka gerak kerja.
Katanya, MN kini sedang dalam proses kerjasama yang lebih besar dengan Perikatan Nasional dan pihaknya masih menunggu perkembangan terbaharu dari parti-parti di dalam PN termasuk untuk menubuhkan satu sekretariat.
Menyifatkan PN sebagai gabungan yang masih longgar, Annuar berkata:
“PN lahir kita tidak rancang dan tidak sangka. Kita tidak ada logo, tidak ada struktur. Kita beranak dulu baru fikir,” katanya merujuk kepada perkara-perkara yang akan diselesaikan di peringkat administratif dan satu mesyuarat rasmi akan diadakan di peringkat pucuk pimpinan parti.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan rombongan MCA di ibu pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn, di sini, hari ini.
Menurut Annuar, UMNO juga telah menerima arahan daripada pucuk pimpinan parti supaya menyegerakan urusan menubuhkan sekretariat itu bagi menyediakan ‘roadmap’ PN.
“Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah mengadakan perbincangan dengan presiden parti-parti gabungan MN dan saya mendapat arahan supaya disegerakan penubuhan sekretariat,” katanya.
Annuar berkata, walaupun ada pihak mengatakan bermacam-macam kepada MN, tetapi umum tahu kejatuhan PH pada 24 Februari lalu disebabkan perbuatan mereka sendiri.
Bagaimanapun, katanya, UMNO dan MN khususnya mengambil iktibar daripada stuasi itu dengan terus memperkasakan konsep parti supaya dapat memberi khidmat kepada rakyat sebaik mungkin.
BN katanya, akan terus berfungsi sebagai gabungan empat parti iaitu UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), manakala PN bertindak sebagai entiti politik.
Dalam pertemuan dengan rombongan MCA itu, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, mereka berbincang mengenai hal ehwal politik, khususnya berkaitan jentera pilihan raya dan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Tegas beliau, BN dan MN sepakat untuk mengekalkan tumpuan mempersiapsiagakan jentera PRU, selain perkemaskan jentera parti kerana mereka harus berada dalam keadaan terbaik dari susunan jentera dan strategi.
“Kita turut bertukar maklumat dan pandangan, kita juga bincang suasana politik dan pemerhatian parti masing-masing berhubung dengan sentimen rakyat berkaitan perkembangan semasa.
“Ini supaya kita sentiasa mengambil perhatian mengenai apakah yang dirasai oleh rakyat dan pengundi bagi memastikan parti kita mengambil pendekatan yang sensitif,” katanya. – MalaysiaGazette