SINGAPURA – Singapura menghalang pengembara yang pernah berada di Korea Selatan, Itali dan Iran dalam tempoh 14 hari daripada memasuki atau transit ke negara itu dalam usahanya mengawal wabak Covid-19.
Jawatankuasa yang diwujudkan dalam menangani wabak itu mengumumkan perkara itu susulan peningkatan kes Covid-19.
Larangan itu bermula jam 11.59 malam hari Rabu, 4 Mac 2020.
Selain itu, warga Singapura, penduduk tetap dan pemegang pas jangka panjang (termasuk pas kerja, pas pelajar, pas tanggungan dan pas lawatan jangka panjang) dengan sejarah perjalanan ke tempat-tempat tersebut perlu mengkuarantinkan diri masing-masing selama 14 hari selepas pulang ke Singapura.
Kementerian Kesihatan Singapura telah memperluaskan definisi pembawa Covid-19 dengan memasukkan individu yang mengalami radang paru-paru atau jangkitan pernafasan yang teruk disertai sesak nafas yang telah ke Iran, utara Itali Jepun dan Korea Selatan dalam masa 14 hari sebelum bermulanya gejala.
Dengan ini, pesakit-pesakit ini akan dibawa ke hospital untuk penilaian selanjutnya, kata Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan.
Dalam perkembangan lain, mulai jam 11.59 malam waktu tempatan pada hari Rabu, semua pelancong yang masuk ke Singapura dan mengalami demam dan/atau gejala penyakit pernafasan lain tetapi mereka yang tidak menepati definisi kes perlu menjalani ujian Covid-19 di tempat pemeriksaan.
Mereka boleh meneruskan perjalanan dengan serta-merta selepas ujian dan akan dimaklumkan tentang keputusan ujian kemudian.
Tambahnya, mereka yang mempunyai keputusan positif akan dihantar ke hospital dengan ambulans khusus, kata MOH.
Pelawat jangka pendek yang tidak mematuhi peraturan tidak akan diberikan masuk ke Singapura.
Penduduk tetap Singapura dan pemegang pas jangka panjang yang enggan menjalani ujian atau tidak dapat dihubungi selanjutnya mungkin menghadapi penalti. – MalaysiaGazette