Home Nasional Tiada resit lama, LHDN ‘tarah’ pampasan?

Tiada resit lama, LHDN ‘tarah’ pampasan?

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kelompok pembayar cukai yang diberhentikan kerja meluahkan rasa kecewa setelah mendapati mereka dikenakan penalti dan dipotong daripada pampasan diterima jika gagal menyediakan resit lama.

Tinjauan wartawan ke Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Cheras mendapati rata-rata pekerja mengatakan walaupun majikan memberi pengecualian cukai untuk pampasan bagi pekerja gaji bawah RM10,000 sebulan tetapi LHDN pula mencaras pampasan berkenaan dengan pelbagai alasan jika gagal mengemukakan resit lama.

Ia menimbulkan kebimbangan awam kerana rakyat bergaji rendah ini bukanlah sebuah syarikat besar yang mampu menggajikan juruaudit bagi menyimpan semua resit perbelanjaan dan rekod setiap tahun.

Pada pendapat awam, LHDN seolah membiarkan rakyat melakukan kesilapan ketika melakukan e filing tanpa meminta resit secara terus, sewajarnya resit dimuatnaik ke dalam sistem itu bagi mengelakkan isu resit hilang dan rakyat dikenakan penalti.

Senarai pelepasan cukai yang bertanda adalah yang dikenakan penalti jika gagal kemukakan resit.

Audit dilakukan beberapa tahun selepas pekerja berhenti dan sebahagian besar gagal mengemukakan resit ketika pelepasan cukai dibuat.

Mengikut seorang pegawai LHDN, penalti dikenakan sehingga 45 peratus jika gagal dikenakan cukai.

Bagaimanapun ada segelintir pegawai yang prihatin dan bertimbang rasa mempermudahkan urusan pembayar cukai tanpa menuntut resit lama.

Seorang pembayar cukai yang dikenali sebagai Aqib berkata, hipotesis dakwaan LHDN tidak merekodkan atau menyimpan rekod pembayar cukai adalah benar.

“Terbukti mereka yang telah bayar cukai setiap tahun, malah terima lebihan cukai telah dikembalikan tetapi kini diminta isytiharkan sekali dengan mengemukakan resit-resit lama yang sudah hilang dakwat, reput dimakan anai-anai dan sebagainya.

“Adakah kerana LHDN tidak dapat kejar cukai orang kaya, orang bawah orang miskin macam kami pula ditekan dikorek setiap sudut?

“Isteri saya tidak kerja, anak sekolah ada empat orang tetapi dikenakan cukai RM2,000, rasa sangat tertekan lebih-lebih lagi kos sara hidup tinggi, tinggal di bandar pula,” katanya.

Tinjauan di LHDN Menara PGRM, Cheras.

Dalam pada itu, seorang pembayar cukai dikenali Aina berkata pampasan berhenti kerja adalah menggantikan gaji bagi beberapa bulan yang tidak bekerja.

“Rakyat terima pendahuluan gaji pula yang dikenakan cukai. Sewajarnya dicukaikan penyata akaun bank bukan penyata pendapatan.

“Jika benar cukai untuk dikembalikan kepada rakyat, jangan dikenakan penalti dan dicaras pula pampasan ini.

“Contoh saya sudah bercerai dengan suami tetapi kami berdua sama-sama ketua keluarga menanggung anak belajar sama-sama keluarkan kos, kenapa hanya seorang sahaja yang boleh tuntut pelepasan cukai? Ini tidak adil.

“LHDN maklumkan jika suami isteri yang sudah bercerai hendak tuntut pelepasan cukai perlu mengemukakan perintah mahkamah, sangat kejam.

“Selagi tidak serahkan resit dan dokumen pampasan tidak akan dilepaskan, bagaimana mahu meneruskan jadi saya terpaksa redha dikenakan penalti ,” katanya meluah kecewa.

Seorang netizen yang menggunakan nama Siti Hajjar di Facebook meluahkan rasa kecewa kerana LHDN memberi syarat yang ketat sehingga keluarganya tidak dapat menikmati pampasan setelah diberhentikan kerja.

“LHDN minta borang pelepasan cukai EA yang dikeluarkan syarikat tetapi syarikat itu sudah ditutup.

“LHDN kemudian minta keluarkan penyata EPF, tetapi EPF pula minta LHDN keluarkan surat arahan kepada EPF.

“LHDN pula mendakwa tidak boleh keluarkan surat berkenaan, jadi pampasan suami walau sedikit sehingga kini tidak dapat dinikmati,” katanya.

Beliau turut mencadangkan kerajaan agar ditambah baik sistem e filing supaya resit boleh dimuatnaik secara dalam talian pada masa pelepasan cukai dibuat dan surat akuan sumpah diterima jika kehilangan resit berkenaan.

“Sistem cukai yang mesra rakyat mampu menggalakkan lagi orang mahu membayar cukai bukan memberi tekanan atau menyebabkan ramai lari daripada mengisytiharkannya,” katanya. – MalaysiaGazette

4 Komen

  1. Patutnya masa pembayar cukai nak claim terlebih bayar atau masa serahkan e-filing tu; terus minta resit sebagai bukti. Bukannya dah bertahun2 baru minta…bengong punya LHDN

  2. Memang itulah kerja LHDN mengutip cukai dari rakyat & mencari alasan yg munasabah utk mengenakan penalti. Kita “pekerja bawahan” ini sememangnya menjadi “makanan / ulam” LHDN. Kita pembayar “bawahan” sj yg salah, – tidak sertakan itu, ini, dan bagai2 lg. Apakah mereka pihak LHDN tidak ada rekod setiap pembayar cukai? Mereka boleh je buat anggaran cukai yg perlu dibayar, brpandukan cukai sblm. Tp tidak mereka lebih suka kenakan “penalti “. Kerana pendapatan “pekerja bawahan” hampir sama jumlahnya dgn tahun2 sblm. Wahai LHDN yg hanya nampak RM RM fikir fikir lah sejenak, usah jadi robot!

  3. KEPADA YANG SELALU CLAIM PERBELANJAAN MAKSIMUM PATUTLAH SEDAR PADAHNYA JIKA MEMBUAT TUNTUTAN TANPA RESIT. LHDN AKAN MENUNTUT MEREKA MENGEMUKAKAN RESIT PADA BILA-BILA MASA DALAM TEMPOH LIMA TAHUN.
    LHDN MASIH BOLEH MENERIMA W/P RESIT ASAL YANG DAH KELABU DIMAMAH USIA TAPI YANG TAK DAPAT MENGEMUKAKAN RESIT LANGSUNG MESTI ADA SESUATU YANG TAK KENA.

Comments are closed.