Home Dunia Koronavirus merebak seluruh Iran – Presiden

Koronavirus merebak seluruh Iran – Presiden

Hassan Rouhani. Foto Agensi

DUBAI – Koronavirus telah merebak di seluruh wilayah Iran tetapi jumlah kematian adalah ‘minimum’, kata Presiden Hassan Rouhani.

“Penyakit ini adalah penyakit yang merebak.

“Ia telah mencapai hampir semua wilayah kita dan ia adalah penyakit global,” katanya semasa mesyuarat Kabinet, menurut laman web Pejabat Presiden.

Kementerian Kesihatan pada hari Selasa berkata, seramai 92 orang telah meninggal dunia akibat wabak itu – antara kematian tertinggi di luar China.

Katanya, seramai 2,922 orang telah dijangkiti wabak itu setakat ini.

Antara individu pertama yang dijangkiti ialah Naib Presiden, Eshaq Jahangiri walaupaun tiada pengesahan rasmi.

Beberapa orang pegawai Iran turut dijangkiti wabak itu dan seorang daripada meninggal dunia pada hari Isnin lalu.

Susulan penularan itu, solat Jumaat di Iran telah dibatalkan di semua wilayah.

Rouhani telah menerima tawara bantuan dalam mengekang penularan wabak itu tetapi tidak menyebut Amerika Syarikat.

Minggu lalu, Setiausaha Amerika Syarikat, Mike Pompeo menawarkan bantuan kepada Iran.

“Mereka muncul dengan topeng simpati bahawa mereka mahu membantu rakyat Iran.

“Jika anda berkata benar, lepaskan sekatan ke atas ubat-ubatan,” ujarnya.

Presiden Donald Trump telah menarik semula perjanjian nuklear dengan Iran pada tahun 2018 dan melaksanakan semula sekatan ke atas ekonomi Iran.

Bagaimanapun pegawai-pegawai Amerika Syarikat berkata, sekatan yang dikenakan itu tidak membabitkan ubat-ubatan untuk Iran. – MalaysiaGazette