Home Utama KPN tegur peguam tidak hormat undang-undang

KPN tegur peguam tidak hormat undang-undang

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador (tengah) bersama Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Datuk Mohd Zubil Mat Som (kiri) hadir pada Majlis Menandatangani Deklarasi Kerjasama Strategik PDRM dan APMM di Markas Operasi PPM Wilayah Satu Pelabuhan Klang, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 05 MAC 2020

KLANG – Polis kecewa dengan sikap segelintir peguam yang terlibat dalam perhimpunan haram kerana berkelakuan seperti tidak memahami undang-undang.

Sedangkan, mereka adalah golongan profesional yang bergelar pengamal undang-undang, tetapi mengambil sikap membelakangkan Perlembagaan dengan ikut serta bersama kumpulan tertentu mengadakan demonstrasi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, golongan profesional itu juga mengeluarkan kenyataan yang boleh mencabar kuasa dan tanggungjawab polis.

“Ini, golongan peguam ni.. saya minta dia orang fahamlah, dia orang pengamal undang-undang. Jangan keluarkan kenyataan kononnya polis kekang itu, polis kekang ini, naik jemu saya dengar, tak faham-faham.

“Pihak media pula, tolong terangkan dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris yang mudah difahami mereka, (media) jangan guna perkataan canggih-canggih (nanti peguam tidak faham pesanan polis),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis Menandatangani Deklarasi Kerjasama Strategik Antara Pasukan Polis Marin (PPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah (1), Pelabuhan Klang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan; dan Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som.

Menurut Abdul Hamid, setiap kali berlaku kemelut politik, akan ada kumpulan tertentu turun di jalanan dan ketika itu juga polis memaklumkan agar mereka tidak menyusahkan orang ramai.

“Dari mula lagi saya cakap, jangan menyusahkan orang dengan berhimpun di pekarangan terutama di hadapan pusat beli belah Sogo, sebab jalan raya akan sesak.

“Kalau mahu berhimpun, pergilah ke Padang Merbok atau sewa stadium. Mohon notis dan di situ, kamu boleh menyuarakan idea kamu sebagai rakyat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.