KUALA LUMPUR – Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2020 yang telah dijadualkan berlangsung di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada 20 AprilĀ ditunda ke 24 Ogos ini.
Keputusan berkenaan terpaksa diambil setelah perbincangan dan pertimbangan yang teliti dibuat bersama Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan pihak berkepentingan berikutan kebimbangan Covid-19 yang mengakibatkan gangguan perjalanan antarabangsa dan situasi lain.
Pengerusi DSA Exhibition & Conference Sdn Bhd, Tan Sri Asmat Kamaludin yang merupakan penganjur utama kedua-dua pameran itu dalam satu kenyataan berkata, keputusan penundaan acara itu menerima sokongan sebulat suara walaupun hanya tinggal dua bulan dari tarikh asal pameran ini sepatutnya berlangsung.
“Dengan jangkaan 1,500 syarikat mengambil bahagian daripada 60 buah negara, melibatkan 350 delegasi kenamaan, 50,000 pelawat daripada seluruh pelusuk dunia, keputusan menangguhkan acara ini adalah keputusan yang terbaik.
“Kami ingin memastikan suasana pameran yang kondusif untuk para peserta, pihak pempamer dan pelawat semasa acara berlangsung.
“Kami menzahirkan rasa simpati terhadap mereka yang terkesan dan kami berharap walaupun dengan penangguhan ini, DSA 2020 dan NATSEC Asia 2020 akan terus menjadi platform penting untuk menggalakkan pertukaran dan perkongsian teknologi antarabangsa dan pada masa yang sama merancakkan hubungan kerjasama bagi memperkukuh pertahanan dan keselamatan negara,” katanya.
Dengan bertemakan Advancing into a New Era of Defence, kedua-dua pameran mega berkenaan akan mempamerkan segmen khusus melibatkan bukan sahaja platform pertahanan konvensional, malah juga melibatkan pertahanan siber, sistem tanpa pengawal, dan penjagaan kesihatan di medan tempur.
“DSA 2020 dan NATSEC Asia 2020 juga merupakan peluang berharga kepada perkongsian strategik, kerjasama perniagaan dan rangkaian yang berjaya di antara pemegang taruh industri pertahanan dan keselamatan serta jabatan-jabatan kerajaan.
DSA 2020 dan NATSEC Asia 2020 dihoskan, disokong dan dianjurkan bersama Kementerian Pertahanan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri.
Untuk keterangan lanjut berhubung DSA 2020 dan NATSEC Asia 2020, sila lawati laman sesawang www.dsaexhibition.com.-MalaysiaGazette