KUALA LUMPUR – Data trafik penumpang global untuk bulan Januari 2020 menunjukkan permintaan yang diukur dalam jumlah penumpang kilometer (RPK) meningkat 2.4% tahun ke tahun.
Ketua Pengarah Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), Alexandre de Juniac bagaimanapun berkata, ia lebih rendah berbanding 4.6% pertumbuhan tahun ke tahun yang direkodkan pada bulan sebelumnya.
Ia adalah kenaikan bulanan terendah sejak April 2010, semasa krisis abu letusan gunung berapi di Eropah yang menyebabkan banyak penerbangan ditunda dan lapangan terbang ditutup.
IATA berkata, kapasiti bagi tempat duduk tersedia mengikut kilometer (ASK) pula naik sebanyak 1.7%.
‘Prestasi bulan Januari adalah sebahagian kecil daripada impak trafik akibat Covid-19 memandangkan peraturan ketat perjalanan di China hanya bermula pada 23 Januari lalu,” katanya.
Meskipun begitu, tambah beliau, ia sudah cukup menyebabkan pertumbuhan lalu lintas perlahan dalam hampir satu dekad,” katanya. – MalaysiaGazette