KUALA LUMPUR- Pos Malaysia Bhd akan terus melaksanakan kawalan kos menerusi rasionalisasi rangkaian pejabat posnya.
AmInvestment Bank dalam nota penyelidikannya berkata, antara langkah berpotensi diambil adalah penempatan semula, pengecilan atau penutupan premis pejabat pos serta mengubah operasinya kepada pusat e-dagang.
Tambahnya, ia dimaklumkan program keusahawanan atau pendanaan ramai (crowdfunding)- yang menukar posmen bergaji kepada kontraktor penghantar surat berasaskan jumlah/insentif mampu mengurangkan kos penghantaran sebanyak 28 peratus.
Ia juga boleh meningkatkan jumlah item yang dihantar sebanyak 50 peratus.
Program perintis yang dilaksanakan sejak tahun kewangan 2019 telah merekrut lebih 100 orang dan Pos Malaysia katanya, berhasrat untuk menokon bilangan kepada 1,000 orang pada tahun kewangan 2020.
“Cabaran utama bagi Pos Malaysia adalah kecekapan kos berikutan kesatuan kerja dan ketidakupayaan untuk merasionalisasi rangkaian pejabat pos yang meluas.
“Meskipun langkah mengekang kos telah dilaksanakan pada tahun kewangan 2019, kos operasi masih kekal tinggi.
“Ini kerana beberapa inisiatif masih kekal pada peringkat awal yang belum menunjukkan impak sepenuhnya,” katanya .
AmInvestment Bank berkata, Pos Malaysia terus melaksanakan penjualan perniagaan bukan teras seperti perniagaan kejuruteraan penerbangan serta perniagaan Ar-Rahnu, sebelum melabur semula dana yang diraih ke dalam perniagaan utama iaitu kurier dan pos untuk meningkatkan kecekapan serta daya saing.-MalaysiaGazette