WESTMINSTER – Durian runtuh kepada semua ahli-ahli Parlimen United Kingdom apabila menerima kenaikan gaji tahunan sebanyak 3.1 peratus.
Dengan pengumuman baharu oleh Perdana Menteri, Boris Johnson itu bermula 2020/2021, gaji pokok setiap ahli parlimen meningkat daripada £79,468 kepada £81,932 setahun.
Kenaikan itu akan berkuatkuasa mulai 1 April ini.
Bagi tahun 2019, kenaikan gaji wakil rakyat adalah 2.7 peratus, tahun 2018 (1.8 peratus), tahun 2017 (1.4 peratus), tahun 2016 (1.3 peratus) dan 10.4 peratus daripada £67,000 kepada £74,000 untuk tahun 2015.
Pengumuman itu juga menyaksikan kali pertama gaji seorang ahli parlimen melepasi paras £80,000 berbanding £65,738 pada tahun 2010.
Kebanyakan ahli parlimen yang melaksanakan khidmat sambilan yang lain menerima gaji tambahan termasuk pengerusi jawatankuasa pemilihan dan menteri.
Pengerusi jawatankuasa pemilihan kini dibayar gaji £16,422 iaitu peningkatan daripada £15,928 pada April 2019.
Bagi seorang guru di UK, purata gaji permulaannya pada tahun 2010 adalah £21,200 tetapi kini naik kepada £24,200.
Gaji bagi seorang polis konstabel adalah permulaanya £23,000 pada 2010 dan kini meningkat hanya £1,200 menjadi £24,200 ketika ini.
Para ahli Parlimen di UK kebanyakannya manghabiskan lebih masa di Westminster membuat dan menggubal undang-undang baharu selain membangkitkan isu berkaitan perlembagaan.
Sidang Parlimen kali ini dijangkakan pada Mei atau Jun 2020.-MalaysiaGazettte