Home Nasional Exco Makmur Johor bantu Hasni kemudi kerajaan negeri

Exco Makmur Johor bantu Hasni kemudi kerajaan negeri

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad pada sidang media bersama barisan Exco baharu Johor di kediaman rasmi Menteri Besar di Saujana.

JOHOR BAHRU – Barisan baharu Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Negeri (Exco) dikenali sebagai Exco Makmur Johor, kata Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad.

Menurutnya, beliau percaya barisan Exco baharu itu bakal membantu untuk mengemudi kerajaan negeri ini demi manfaat kesemua rakyat Johor.

Hasni berkata, Johor perlu makmur dalam pelbagai aspek dan ia menjadi tanggungjawab hakiki beliau dan barisan Exco sekali gus cuba melakukan sedaya upaya memajukan negeri.

“Barisan EXCO Makmur Johor ini memadai untuk rakyat mengetahui bahawa matlamat pentadbiran saya adalah semata-mata untuk memanfaatkan Johor,” katanya pada sidang media di kediaman rasmi Menteri Besar di Saujana di sini.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad (tengah) bersama barisan Exco baharu Johor di kediaman rasmi Menteri Besar di Saujana

Beliau menambah,Johor harus makmur dalam pelabagai aspek terutama sektor ekonomi, pendidikan dan kesihatan.

Johor juga, katanya, harus mengamalkan tadbir urus yang telus dan adil, di samping berakar kukuh dengan identiti Johor kerana banyak potensi tersirat negeri ini yang harus kita rungkai bersama.

Dalam pada itu, Hasni mahu semua pihak berhenti berpolitik dan berkelahi sesama sendiri, sebaliknya harus terus bekerja untuk memberikan yang terbaik kepada negeri.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad (dua dari kiri) bersama sebahagian Exco baharu Johor di kediaman rasmi Menteri Besar di Saujana.

“Saya percaya, barisan Exco Makmur Johor ini adalah Exco yang bekerja untuk semua. Kerajaan pimpinan saya adalah kerajaan untuk semua.

“Bersetialah Untuk Johor. Berbaktilah Untuk Johor. Bekerjalah Untuk Johor. Kerana akhirnya, kita semua mahukan Johor yang lebih Makmur,” katanya. – MalaysiaGazette.