Home Nasional Polis Pahang rampas 6.9 kg syabu dalam bungkusan teh

Polis Pahang rampas 6.9 kg syabu dalam bungkusan teh

Datuk Mohd Yusri Hassan Basri
Mohd Yusri Hassan Basri

KUANTAN – Polis Pahang menahan empat lelaki serta seorang wanita dan merampas dadah jenis syabu dianggarkan seberat 6.9 kilogram dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di Jalan Dato’ Lim Hoe Lek di sini dan sebuah rumah di Paka, Terengganu, Rabu lepas.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dadah yang dianggar bernilai kira-kira RM280,000 itu ditemui cuba disembunyikan dalam bungkusan teh herba bagi mengelirukan pihak berkuasa.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama di sini pada kira-kira pukul 9.45 pagi polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita, manakala dalam serbuan di Paka, pada kira-kira pukul 9,00 malam, polis menahan seorang lagi suspek.

Menurutnya, semua suspek berumur dalam lingkungan umur 24 hingga 41 tahun, dengan suspek wanita merupakan seorang tukang masak, manakala seorang suspek lelaki adalah pekerja syarikat swasta berkaitan gas dan minyak; dan selebihnya penganggur.

“Dua daripada suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine. Suspek dipercayai aktif dalam kegiatan mengedar dadah di sekitar daerah ini sejak tiga bulan lepas dengan mendapatkan bekalan melalui Terengganu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, hari ini.

Mohd Yusri berkata, polis turut merampas wang tunai RM632 daripada suspek selain menyita sebuah kereta Chevrolet Colorado serta sebuah Proton Wira yang dianggarkan bernilai RM75,000, dan semua suspek kini direman seminggu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. .

“Jumlah dadah yang dirampas dipercayai cukup untuk dibekalkan kepada 13,800 penagih,” katanya.

Pada perkembangan lain, Mohd Yusri berkata, pihaknya akan memberi tumpuan kepada penagih berulang mengikut Seksyen 39C (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan tiga sebat, jika sabit kesalahan.

“Sejak Januari hingga awal bulan ini, seramai 144 penagih berulang telah dituduh dan dibicarakan di seluruh Pahang,” katanya.

Beliau seterusnya menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah dadah di Pahang untuk menghubungi Pusat Kawalan Kontinjen Pahang dengan menelefon 09-5051999/2202 atau hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di 012-2087222, atau balai polis berhampiran. – Bernama