KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, politik tidak begitu penting berbanding dua cabaran utama yang dihadapi Malaysia sekarang iaitu masalah ekonomi dan penularan wabak Covid-19.
“Negara kita hadapi dua cabaran besar. Ekonomi merosot dan koronavirus. Jangan ambil rendah berkenaan dengan penyakit ini, boleh ambil maut.
“Ini bukan masanya kita nak cari tempat dalam politik. Pasal kita nak hadapi dua cabaran (ekonomi merosot dan koronavirus) ini memerlukan kita tenang diri,” katanya dalam ucapannya pada Majlis Kenduri Rakyat di Dewan Wawasan, Jitra, Kedah hari ini.
Semasa memegang jawatan Perdana Menteri interim semasa kemelut politik baru-baru ini, Mahathir sempat meluluskan pakej rangsangan ekonomi berkait dengan penularan Covid-19.
Terdahulu, Mahathir mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri kerana beliau memilih untuk bekerjasama dengan Datuk Seri Najib Razak bukan dirinya.
“Bila saya tak setuju dengan dia pasal kerjasama dengan Najib, dia (Muhyiddin) pilih Najib dan tak pilih saya,” katanya.
Beliau mendakwa semasa kemelut politik berlaku, kerajaan PH runtuh kerana PH menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri manakala Muhyiddin pula sanggup bekerja sama dengan Najib dan pemimpin UMNO lain yang sedang berhadapan tuduhan rasuah di mahkamah.
“Tiba-tiba PH namakan Anwar, saya kalah. Dia pun kalah. Dua-dua tiada majoriti. Saya dikalahkan disebabkan PH tidak sokong saya. Saya pun terimalah.
“Setelah PH tolak saya dan namakan Anwar sebagai PM, tapi mereka ada sokong balik saya tapi terlewatlah. Kerana tindakan PH tolak saya dan saya juga tak sanggup kerjasama dengan Najib dan geng-geng dia, maka hari ini yang menjadi perdana menteri ialah Muhyiddin Yassin,” jelasnya lagi.
Menurut Mahathir, pemimpin mahu beliau menolak PH tetapi Muhyiddin tidak sabar menunggu.
“(Kata Muhyiddin kepada saya) masanya adalah sekarang, kita keluar PH dan membentuk kerajaan Melayu.
“Malah kerja sama dengan Pas, saya fikir okay lah, tapi kerja dengan UMNO? Kita baru kalahkan mereka dan kerajaan kleptokrat mereka. Kerja sama dengan Najib, musuh, saya tak sanggup.
“Tapi Muhyiddin sanggup kerja sama dengan Najib, Zahid Hamidi, Tengku Adnan Tengku Mansor, Azeez Abdul Rahim, Rosmah (Mansor). Macam mana saya nak kerja dengan mereka, ramai di antara mereka sedang dalam perbicaraan kes rasuah.
Menurutnya, beliau bukan mahu lagi jawatan perdana menteri tapi mengakui pedih apabila ‘ditikam kawan sendiri.’
“Pasal pilih Najib dia boleh jadi PM. Saya dah jadi PM dua kali tak pa lah tak payah pun bukan saya nak yang tu sangat. Tapi bila kawan tikam belakang rasa pedih juga, teruk lah,” katanya. – MalaysiaGazette