BANGKOK – Thailand tidak mewajibkan kuarantin ke atas pelawat dari empat negara dan dua wilayah yang ditakrifkan sebagai Zon Wabak Penyakit COVID-19.
Keempat-empat negara itu – China, Korea Selatan, Itali dan Iran serta dua wilayah Macau dan Hong Kong telah ditakrifkan sebagai Zon Wabak Penyakit sebagaimana yang dinyatakan dalam Warta Kerajaan pada Khamis.
Bagaimanapun warta kerajaan itu tidak menyatakan langkah kuarantin yang dikenakan.
Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam Thailand, Dr Sukhum Kanchanapimai berkata, penumpang dari empat negara dan dua wilayah tersebut dinasihatkan supaya tinggal di dalam bangunan dan melaporkan kepada pihak berkuasa kesihatan setiap hari.
“Mereka dinasihatkan supaya kuarantin di rumah. Sekiranya mereka enggan berbuat demikian, kami akan menghantar mereka ke pusat kuarantin. Ia bagi memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat,” katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini semalam.
Sukhum berkata, rakyat Thailand yang kembali dari Daegu dan Gyeongsang, Korea Selatan, wajib menjalani kuarantin 14 hari di pusat yang dikhaskan.
Beliau turut menasihatkan rakyat negara itu yang pulang dari Jepun, Singapura, Sepanyol, Switzerland dan Amerika Syarikat supaya tidak keluar untuk membendung penyebaran virus itu.
Pengumuman itu menjelaskan kekeliruan tentang pelbagai maklumat yang diterima orang ramai berhubung sekatan berkaitan wabak Covid-19.
Pada Selasa, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul membuat hantaran di Facebooknya bahawa pelawat dari negara-negara berisiko tinggi Covid-19 termasuk China, Korea Selatan dan Singapura perlu menjalani kuarantin selama 14 hari. Bagaimanapun, hantaran itu telah dipadamkan tidak lama kemudian.
Sementara itu, Thailand semalam melaporkan satu kes baharu Covid-19 – seorang lelaki warga Britain yang singgah di Hong Kong selama tujuh jam sebelum tiba di Thailand pada 29 Februari, kes positif ke-48 negara itu.
Lelaki berusia 43 tahun itu demam dan mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta pada 4 Mac.
Satu kematian dicatatkan sejak wabak Covid-19 itu dilaporkan di negara berkenaan pada Januari. Terdapat 16 pesakit yang masih menjalani rawatan di hospital.
Sementara itu, Kementerian Luar Thailand memaklumkan terdapat kira-kira 209,000 pekerja Thailand, termasuk kira-kira 152,400 pekerja haram di Korea Selatan.
Menurut kementerian itu, sehingga 1 Mac tahun ini, terdapat 5,386 warga Thailand yang bekerja tanpa permit di negara itu yang ingin kembali manakala 4,727 orang telah pulang.
Thailand berusaha membawa pulang ribuan warganya yang bekerja di Korea Selatan termasuk ‘Phi Noi’, istilah yang merujuk kepada pekerja haram Thai di Korea Selatan, berikutan wabak Covid-19.
Pihak berkuasa berkaitan telah menyediakan kemudahan untuk kuarantin selama 14 hari bagi ribuan pekerja Thailand yang pulang secara berperingkat dari wilayah Gyeongsang dan bandar Daegu, Korea Selatan. – BERNAMA