Home Nasional MH370: Kementerian Pengangkutan akan jumpa PM bincang pampasan waris

MH370: Kementerian Pengangkutan akan jumpa PM bincang pampasan waris

Ahli keluarga mangsa MH370 hadir pada 'MH370 Remembering 239 Lives 6 Years Gone' semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hotel Marriott Putrajaya, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 07 MAC 2020

PUTRAJAYA- Kementerian Pengangkutan dijangka bertemu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu hadapan bagi membentangkan kertas Kabinet berkaitan pampasan kepada waris mangsa pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014.

Ketua Setiausahanya Datuk Isham Ishak berkata, pampasan itu adalah sebagai penyelesaian luar mahkamah bagi kes saman waris mangsa terhadap kerajaan Malaysia dan agensi berkaitan.

“Saya telah mengemukakan permintaan untuk bertemu Perdana Menteri minggu hadapan supaya dapat membentangkan kertas yang telah disediakan sebelum pembubaran kerajaan baru-baru ini.

“Kami sepatutnya mendapatkan sokongan ini untuk ahli keluarga yang kehilangan insan tersayang. Saya akan cuba yang terbaik untuk mendapat sokongan yang anda inginkan sejak enam tahun lepas,” katanya pada majlis ulang tahun keenam memperingati kehilangan MH370, di sini hari ini.

Isham berkata, kementerian juga akan terus berusaha untuk mendapatkan sokongan daripada kerajaan baharu bagi meneruskan misi pencarian MH370 yang telah dihentikan sebelum ini.

“Saya tahu terdapat banyak harapan dan saya dapat rasakan, siapa lagi yang anda harapkan selain daripada kerajaan Malaysia,” katanya.

Majlis yang dihadiri waris mangsa insiden MH370 dari seluruh negara itu turut disertai bekas Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Loke berkata beliau sepatutnya dijadualkan membentangkan kertas Kabinet berkenaan dalam mesyuarat Kabinet pada 26 Feb lepas namun hasrat itu tidak kesampaian susulan kemelut politik ketika itu.

“Memorandum itu amat penting kerana melaluinya, kita sudah mendapat persetujuan daripada peguam waris mangsa untuk penyelesaian membabitkan kes saman di luar mahkamah dengan memberikan pampasan kepada mereka,” katanya.

Loke berkata, beliau akan menemui menteri pengangkutan yang baharu selepas pembentukan Kabinet bagi memohon supaya misi pencarian pesawat malang itu digerakkan semula.

Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada imbasan radar semasa dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Dari Allah kita datang kepadanya kita akan kembali.Perebutan kuasa telah berlaku berabad dab berzaman kerana itulah fitrah manusia yg mengikut nafsu dalam membuat sesuatu tindakan tanpa mengira dosa dan pahala dalam satiap keputusan yg diambil.Satiap pekara yg kita lakukan tanpa pertimbagan akal yg waras dan terpengaruh dengan perancangan shaitan laknatullah akan menyebabkan merosakkan dunia ini dari tangan yg kurang ajar.Berfikiran terbuka dan sujudlah pada Allah swt dua rakaat meminta petunjuk dari Khalid yg Esa ia itu Allah swt jika kamu benar-benar beriman dan andainya tongakkan kamu salah dari petunjuk Allah itu bertaubat lah kamu kerana Allah swt maha pengampun dan maha penyanyang. Kita akan mati dan bertaubat lah sabelum terlambat.Wallahuaklam.

Comments are closed.