Home Seni Hidup Azmi Saat buktikan OKU mampu kejar impian

Azmi Saat buktikan OKU mampu kejar impian

Sesi fotografi bersama penyanyi, Azmi Saat pada sidang media Mikrofon Impian di The Majapahit, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 11 FEBRUARI 2019.

KUALA LUMPUR – Jika sebelum in hanya bernyanyi di tepi jalan namun kini bakat Azmi Saat yang merupakan vokalis kumpulan Caliph Buskers semakin berkembang.

Beliau tidak lagi hidup susah, malah dapat membuktikan walaupun dirinya adalah Orang Kelainan Upaya (OKU) namun masih mampu mengejar impian untuk memiliki rumah sendiri.

“Saya bersyukur dengan peluang yang diberikan oleh orang dalam industri kepada orang OKU macam saya. Banyak pencapaian yang saya raih sepanjang lima tahun ini.

“Paling memberi kesan, semestinya perubahan hidup saya yang kini jauh lebih baik berbanding dulu. Sebelum jadi artis, pendapatan saya hanya cukup-cukup makan sahaja, itupun kalau tak kena tipu,” katanya.

Lima tahun dalam industri seni, Azmi juga bercita-cita untuk membuka studio sendiri.

“Sekarang, alhamdulillah saya berjaya membeli rumah sendiri dan bakal siap untuk diduduki tidak lama lagi. Dalam masa yang sama, saya juga dalam proses mengumpul barang-barang muzik untuk keperluan studio milik saya sendiri nanti.

“Kalau tak berada di sini hari ini, mungkin impian untuk buka studio tidak akan terlaksana,” luah Azmi yang pernah mencari rezeki menerusi kerja mengurut.

Beliau yang sangat bersyukur dengan perubahan hidupnya kini turut meluahkan kegembiraannya dengan rakan artis yang lain kerana tidak pernah memandang rendah dan mendiskriminasinya.

“Alhamdulillah sejak bergelar artis saya dapat mengembangkan bakat nyanyian dan muzik pada ruang yang lebih besar.

“Kalau dulu, saya hanya menyanyi di jalanan dengan kelompok peminat yang kecil. Malah saya hanya melakukan rutin yang sama kerana keterbatasan diri.

“Bila masuk industri, kehidupan berubah 360 darjah. Banyak peluang orang bagi untuk saya bawa bakat sejauh mana yang mampu tanpa sebarang prejudis,” katanya. – MalaysiaGazette