Home Nasional Bila ada hubungan profesional, dapat kurangkan politiking – Amirudin

Bila ada hubungan profesional, dapat kurangkan politiking – Amirudin

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hadir pada Majlis Perhimpunan Bulanan Penjawat-penjawat Awam Negeri Selangor di Bangunan SUK Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 09 MAC 2020.

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah menuntut Kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional (PN) memberi layanan istimewa berbanding negeri lain.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari sebaliknya mahu kedua-dua kerajaan itu mempunyai hubungan baik atau profesional untuk meneruskan agenda pembangunan negara.

“Kita bukan minta layanan istimewa tapi saya harap ada hubungan profesional di antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan, sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Bila ada hubungan profesional ini, saya percaya kita akan dapat mengurangkan politiking di dalam pentadbiran dan pengurusan kerajaan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) di sini, hari ini.

Sebelum ini, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Kabinet dibubarkan susulan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-7 pada 24 Februari lalu.

Susulan perkembangan itu, timbul kebimbangan terhadap hubungan Kerajaan Persekutuan yang baharu di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Kerajaan Negeri selepas perubahan politik.

Dalam pada itu, Amirudin juga menegaskan hubungan antara dua pentadbiran berbeza perlu diatasi segera agar rakyat tidak menjadi mangsa keadaan.

“Kami pandang secara positif, sebab itu berulang kali saya sebutkan, saya harapkan ada komunikasi dan hubungan yang profesional.

“Rakyat tidak sewajarnya sengsara atau dibuli oleh pentadbiran yang ingin menekan satu sama lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.