Home Ekonomi Harga minyak jatuh, kerajaan mungkin semak Belanjawan 2020

Harga minyak jatuh, kerajaan mungkin semak Belanjawan 2020

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan mungkin perlu menyemak Belanjawan 2020 memandangkan harga minyak kini didagangkan 45% lebih rendah daripada penanda aras dalam bajet berkenaan.

MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF Research) menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berada dalam tekanan susulan kejatuhan harga minyak mentah pada tahun ini, dengan paling ketara pada hari ini.

”Kejatuhan harga minyak dunia akan menyekat kapasiti fiskal mengambil kira penanda aras Belanjawan 2020 berdasarkan kepada unjuran harga minyak sebanyak A$62 setong,” menurut nota penyelidikannya.

Oleh itu, kerajaan baru kemungkinan besar perlu menyemak belanjawan berkenaan kerana berlaku penyusutan dalam perbelanjaan dan pelaburan kerajaan.

Harga minyak mentah Brent jatuh kepada AS$31 setong pada hari ini, kejatuhan paling ketara sejak tahun 2016 selepas Arab Saudi merancang untuk meningkatkan pengeluaran sebanyak 2 juta tong sehari dan memberi potongan harga kepada pelanggan-pelanggan utama.

Ia berikutan rundingan OPEC dengan sekutunya, Rusia gagal mencapai konsensus untuk mengurangkan bekalan bagi meningkatkan harga bahan bakar itu.

Tahun ini menyaksikan harga minyak mentah menjunam hampir 50%, disebabkan penularan koronavirus dan kebimbangan terhadap permintaan

Firma penyelidikan itu berkata, penurunan harga rendah dalam minyak dan gas menyebabkan sumbangan sektor perlombongan dan kuari lebih rendah kepada KDNK 4.3% pada suku keempat tahun lalu berbanding 4.7% pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, kata MIDF Research, penurunan harga minyak ini adalah berita gembira kerana RON95 dijangka dijual pada harga RM1.32 seliter sekiranya harga Brent kekal pada AS$35 setong.

Malah, inflasi juga kekal rendah dan ini akan menyokong perbelanjaan domestik. – MalaysiaGazette