Oleh: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
TERCATAT dalam lipatan sejarah negara, minggu yang sarat dengan teka-teki sejak 22 Februari lalu telah berakhir dengan istiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kelapan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 1 Mac lalu. Alhamdulillah atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketidaktentuan politik ini dirungkaikan dalam situasi yang baik dan harmonis tanpa menimbulkan panik dan hura-hara yang memudaratkan kepada negara.
Keputusan yang telah diambil oleh Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong itu sejajar dengan artikel 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang “pada hematnya mungkin” mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri. Perlu difahami bahawa Sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia adalah sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang tidak sama dengan sistem di negara-negara lain.
Saya menyifatkan dakwaan sebuah akhbar dari United Kingdom yang menggambarkan seolah-olah kerajaan Pakatan Harapan (PH) digulingkan secara ‘royal coup’ (rampasan diraja) menghina institusi diraja dan mencabar kedaulatan negara ini. Pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri kelapan bukan secara ‘royal coup’ sepertimana yang dijelaskan oleh Pakar perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz, segala tindakan diambil Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dalam menyelesaikan krisis politik negara baru-baru ini adalah berpandukan kuasa diperuntukkan kepada Seri Paduka seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Realitinya, apabila YAB Perdana Menteri ke-8 telah mengangkat sumpah jawatan pada 1 Mac lalu dengan sokongan dan dukungan ahli-ahli Parlimen dalam Perikatan Nasional terdiri daripada Barisan Nasional (UMNO-MCA-MIC-PBRS), PAS, PPBM, GPS (PBB-SUPP-PRS-PBDS) dan Bebas, bermakna wisel penamat kepada kemelut politik tanah air telah ditiupkan. Keputusan yang dibuat adalah muktamad. Mandat telah diberikan kepada Perikatan Nasional (PN) bagi mencorak dan menstabilkan kembali negara ini. Selama 22 bulan di bawah Kerajaan Pakatan Harapan banyak kepincangan yang telah dilakukan terutamanya melibatkan hal-ehwal orang Melayu dan Bumiputera.
Cabaran terbesar Perikatan Nasional ialah membina keyakinan rakyat bahawa Kerajaan Perikatan Nasional lebih baik daripada kerajaan Pakatan Harapan. Nasib mereka terbela, kos sara hidup, keselamatan, kesihatan, ekonomi, peluang pekerjaan, masalah sosial dan sebagainya dapat diselesaikan bukan sekadar retorikal dan manifesto kosong. Sebenarnya kita diuji dengan kemenangan dan peluang ini, Perikatan Nasional perlu buktikan bahawa kita mampu melepasi ujian ini dengan merangka, membentangkan hala tuju ‘road map’ yang jelas, meyakinkan dan diterima rakyat ke arah perubahan yang lebih baik. Hala tuju ini penting kerana Ibnu Khaldun pernah menegaskan bahawa “rakyat suatu organisma yang bersifat hidup, mempunyai potensi untuk berubah dan berkembang maju seandainya perancangan pembangunan yang rapi dan tersusun dapat dilakukan. Perubahan telah menjadi suatu yang lumrah dalam hidup manusia. berasaskan sunnatulah dan kawniyyah milik Allah” .
Sebelum Parlimen bersidang pada 18 Mei 2020 nanti, UMNO dan BN mestilah diperkukuhkan, Muafakat Nasional mestilah diperkasakan dan Perikatan Nasional wajib dipertahan, diperkukuh dan diperkasakan. Tidak ada jalan lain untuk kita kekalkan Kerajaan Perikatan Nasional kecuali semua parti gabungan mesti bersatu hati, seia dan senada menolak segala anasir-anasir yang bersifat peribadi dan berkepentingan puak sendiri. Ujian di hadapan kita terlalu besar Perikatan Nasional wajib menguasai Parlimen tidak cukup hanya dengan jumlah ahli Parlimen sedia ada. Usaha berterusan mestilah dilakukan buang rasa kuat dan selesa dengan angka yang ada. Kita perlu ingat ‘horse trading’ sedang rancak dijalankan oleh pihak lawan.
Rakyat memerhati, Perikatan Nasional perlu meyakinkan rakyat melalui hala tuju, dasar dan pelaksanaan program Kerajaan yang jelas. Dalam 100 hari pertama, Perikatan Nasional mesti memperlihatkan impak perubahan yang besar, rakyat mahu melihat perubahan segera. Kita tidak tertakluk kepada Manifesto Pakatan Harapan, jadi lebih mudah kita fokuskan terlebih dahulu isu-isu dan penyelesaian yang menjadi keutamaan rakyat dan Perikatan Nasional. Rakyat mahu melihat Tabung Haji, FELDA mesti dipulihkan segera. Nasib peneroka, generasi kedua Felda, petani, nelayan, penternak, peruncit dan peniaga kecil wajib diambil kepedulian segera. Bantuan-bantuan kepada rakyat untuk menghadapi kos sara hidup yang tinggi mesti diusahakan segera. Nasib pelajar-pelajar di universiti awam dan IPTS mesti dibela terutama peminjam-peminjam PTPTN. Semua pelajar sekolah rendah dan menengah terutamanya daripada keluarga B40 dan M40 jangan ditinggalkan kerana mereka turut terhimpit dan tersepit. Menjadi tanggungjawab kita memberikan pembelaan dan keadilan kepada isu arwah Adib dan beberapa isu lain yang melibatkan keadilan dan kemanusiaan.
Kita masih berteka-teki siapakah yang bakal dipilih menganggotai Kabinet Perikatan Nasional. Rakyat menanti-nanti siapakah pak Menteri yang bakal membawa perubahan kepada mereka. Sebagai parti yang menganggotai Perikatan Nasional dan sebahagian daripada kerajaan, UMNO dan BN serta Muafakat Nasional menyokong YAB Perdana Menteri. Kita yakin bahawa YAB Perdana Menteri mempunyai roh dan semangat yang sama. UMNO dan Barisan Nasional telah mengemukakan cadangan senarai nama-nama anggota kabinet mengikut peratusan atau kadar sumbangan UMNO dan BN serta sokongan ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN dalam pembentukan kerajaan baharu. Keutamaan diberikan berdasarkan kepada hierarki pemegang jawatan-jawatan utama dalam UMNO Malaysia dan BN. Muka-muka baharu, tokoh-tokoh muda, profesional, teknokrat daripada BN dan friends of BN turut dicadangkan namanya bagi pertimbangan YAB Perdana Menteri.
UMNO dan Barisan Nasional memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada YAB Perdana Menteri mempertimbangkan dan membuat pelantikan daripada kalangan pemimpin yang bersih, berintegriti dan berkaliber agar hasrat YAB Perdana Menteri mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih dan berintegriti tercapai. Sepertimana ucapan saya semalam, sewaktu merasmikan Mesyuarat Persidangan UMNO Cawangan-cawangan dalam Bahagian Bagan Datuk 2020 di Perak, “Sebagai Pengerusi BN (Barisan Nasional) dan Presiden UMNO saya memutuskan untuk menawarkan diri agar tidak dilantik sebarang jawatan dalam Kabinet. Saya berdoa semoga Allah Taala memberi hidayah kepada YAB Perdana Menteri dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman”.
Keputusan ini diambil setelah mengambil kira pandangan dan semua faktor tertentu mengikut keadaan semasa ketika ini dan saya ingin memfokuskan kepada proses membersihkan diri saya di mahkamah tanpa pengguguran kes. Saya mahu mahkamah menentukan keputusannya walaupun tuduhan ini adalah pendakwaan politik dan pendakwaan terpilih. Di samping itu, saya akan memberikan fokus kepada persiapan parti bagi menghadapi PRU ke-15 dan memperkukuhkan lagi agenda Muafakat Nasional yang telah kita terokai bersama PAS sebelum ini.
Walaupun tidak berada dalam Kabinet, saya akan tetap akan menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan bersedia membantu YAB Perdana Menteri untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan. Semoga hasrat kita bagi mewujudkan بَلۡدَةٞ طَيِّبَةٞ وَرَبٌّ غَفُورٞ dipermudahkan dan mendapat Rahmat serta Petunjuk daripada Ilahi. – MalaysiaGazette