KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah mula menjual tiket-tiket bagi perjalanan ke seluruh rangkaian perkhidmatannya sempena Aidilfitri tahun ini mulai 5 Mac lalu.
Ketua Strategik Komunikasinya, Ahmad ‘Asri Khalbi berkata, penjualan tiket melibatkan perkhidmatan KTM Antarabandar (Intercity) dan kereta api elektrik (ETS) itu bagi perjalanan di antara 1 April dan 31 Mei tahun ini.
Beliau berkata, sebanyak 798,368 tiket ditawarkan bagi perkhidmatan ETS, melibatkan laluan di antara Gemas, Kuala Lumpur, Ipoh, Padang Besar dan Butterworth.
Manakala sejumlah 141,032 tiket lagi ditawarkan bagi perjalanan di antara Tumpat, Gemas, dan Johor Bahru, katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.
“Pembukaan jualan tiket itu dilakukan serentak di semua stesen bagi perjalanan ke pelbagai destinasi di Semenanjung Malaysia.
“Ia juga dibuka lebih awal kerana mengambil kira waktu cuti sekolah yang jatuh pada musim perayaan tersebut,” katanya lagi.
Para pengguna digesa mendapatkan tiket lebih awal bagi menikmati kadar tambang lebih rendah dan penjimatan berganda.
Mereka juga boleh melakukan seleksi tempat duduk sekiranya membuat pembelian tiket lebih awal, berbanding membeli pada saat akhir, tambahnya lagi.
KTMB kini menyediakan sebanyak 49 perjalanan KTM Antarabandar dan 40 lagi perjalanan ETS setiap hari.
Selain pembelian di kaunter stesen, orang ramai digesa menggunakan pembelian menerusi dalam talian (online) di laman sesawang rasmi KTMB dan aplikasi MobTicket. – MalaysiaGazette