MELAKA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu Sulaiman Md Ali mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu.
Pelantikan Sulaiman sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12 itu berlangsung dalam Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di Kompleks Seri Negeri.
Sulaiman yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri menyempurnakan Istiadat itu di hadapan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob petang tadi.
Beliau berusia 55 tahun dan pernah dilantik sebagai Timbalan Exco Perindustrian dan Perdagangan Negeri ketika pentadbiran bekas Ketua Menteri Melaka ke-10, Datuk Seri Idris Haron pada tahun 2013 hingga 2018. – MalaysiaGazette