Home Pendapat Buli siber: Gejala buli zaman moden

Buli siber: Gejala buli zaman moden

Gambar hiasan

PERCAMBAHAN pesat telefon pintar dan kebangkitan media sosial telah mengubah di mana, bila, dan bagaimana gejala buli berlaku. Pembuli telah lama wujud di dalam masyarakat kita. Seiring dengan perkembangan teknologi, gejala buli pada masa kini telah beralih ke dunia dalam talian – yang dikenali sebagai buli siber.

Seorang kanak-kanak boleh menjadi pembuli siber atau mangsa buli siber, kedua-duanya berisiko tinggi untuk mengalami penyakit gelisah, kemurungan dan lebih buruk lagi – bunuh diri.

Pada 2018, Malaysia berada di kedudukan yang keenam dari 28 negara yang mencatatkan kes buli siber terbanyak di seluruh dunia. Sementara itu, 28% daripada 6,953 remaja di Malaysia mendakwa bahawa mereka telah menjadi mangsa buli
dalam talian, dengan 43% mengalaminya melalui permainan dalam talian, mesej peribadi dan aplikasi media sosial seperti Facebook, Instagram, WhatsApp, YouTube dan Twitter. Ini menunjukkan bahawa fenomena buli siber telah menjadi semakin runcing di negara kita.

Berbanding dengan gejala buli tradisional di mana ianya berlaku secara bersemuka, buli siber mempunyai kesan segera, meluas dan kekal, memandangkan pembuli boleh menyerang mangsa 24 jam sehari. Oleh itu, terdapat kekhuatiran bahawa intensiti buli siber adalah lebih tinggi daripada buli tradisional. Antara jenis gangguan biasa yang dihadapi oleh mangsa buli siber dalam talian adalah nama gelaran yang sering dijadikan sebagai satu bahan jenaka. Ia berbahaya kerana nama gelaran merupakan cubaan untuk mendefinisikan seseorang.

Sebagai contoh, dengan menggelarkan seseorang sebagai gemuk, hitam, jongang atau apa-apa nama lain boleh meragut harga diri dan maruah mangsa. Dan lebih buruk lagi, gelaran nama ini menjadikan mangsa semakin sukar untuk percaya tanggapan mereka mengenai diri mereka sendiri.

Pakar menyatakan bahawa mangsa buli siber enggan melaporkan kepada ibu bapa atau guru mereka kerana mereka berasa terhina dengan stigma sosial dan bimbang jika ibu bapa akan mengambil telefon pintar/tablet mereka dengan serta-merta. Namun, kajian pada 2018 menunjukkan ibu bapa ingin membantu anak-anak
mereka untuk mencegah dan menangani masalah buli siber tetapi mereka tidak tahu untuk memulakannya. Malah, ada sesetengah daripada mereka juga langsung tidak menyedari anak-anak mereka sedang dibuli siber atau bahkan seorang pembuli
siber.

Oleh kerana anak-anak anda mungkin tidak akan memberitahu anda mengenainya, adalah penting bagi anda mengenal pasti tanda-tanda mereka sedang menjadi mangsa buli siber. Mereka boleh menjadi mangsa buli siber jika:

 Mereka kelihatan gementar atau resah apabila mendapat mesej segera atau e-mel;
 Mereka kelihatan tidak selesa untuk keluar atau pergi ke sekolah; dan
 Mereka mematikan monitor komputer atau menukar skrin setiap kali anda mendekati mereka.

Sebaik sahaja anda mengenal pasti kelakuan seperti ini, apakah yang anda perlu lakukan seterusnya? Pertama sekali, dorong anak anda untuk tidak bertindak balas kepada pembuli siber.
Mereka mungkin menyakiti perasaan anak anda atau bahkan anda, tetapi bertindak balas hanya akan menjadikan keadaan lebih buruk. Tambahan pula, reaksi mangsa adalah apa yang pembuli siber mahukan, jadi usah berikan kepuasan tersebut
kepada mereka.

Pastikan anda menyimpan semua mesej, gambar dan teks (dengan tarikh dan masa) yang membuktikan anak anda dibuli siber. Hal ini penting apabila buli siber menjadi semakin serius, jadi anda mempunyai bukti yang boleh digunakan untuk
membuat laporan polis dan memudahkan pegawai penguatkuasa undang-undang untuk mendakwa.

Selain pihak polis, Pusat Bantuan Cyber999 adalah perkhidmatan yang disediakan di Malaysia untuk ibu bapa yang ingin melaporkan kes buli siber melalui cara berikut:
 Hantar laporan dalam talian melalui laman web;
 E-mel kepada [email protected];
 SMS ke 15888 menggunakan format berikut: CYBER999 REPORT; dan
 Hubungi talian bebas tol di 1-300-88-2999

Seterusnya, hadkan masa skrin anak-anak anda dan maksimumkan masa mereka dengan rakan-rakan dan ahli keluarga. Walaupun buli siber itu menyakitkan, ramai
kanak-kanak yang menjadi mangsa tidak dapat menahan godaan untuk memeriksa laman web atau telefon pintar mereka bagi melihat sebarang mesej yang baru sahaja masuk.
Lantaran itu, dengan menghadkan masa skrin mereka, ia secara tidak langsung menghadkan peluang untuk pembulian siber dan memberi anak anda ruang emosi dari dunia tersebut, terutamanya pada waktu malam.

Juga, ibu bapa perlu memantau kegiatan dalam talian anak mereka walaupun anak anda membencinya. Cuba “berkawan” atau "ikut" anak anda di laman media sosial mereka. Tetapi, janganlah salahgunakan keistimewaan ini dengan memberi komen atau menyiarkan sesuatu pada profil anak anda.
Bagaimana pula jika anak-anak anda adalah pembuli siber?

Apabila menangani isu buli siber, adalah penting anda kekal tenang dan cuba membincangkan isu dengan rasional tanpa mengkritik, mengecilkan atau menghukum anak anda. Ingat, anak anda bukanlah masalahnya, tetapi tingkah laku
mereka yang menjadi masalah.

Berurusanlah dengan mereka secara tegas, tetapi perlakukanlah mereka secara bermaruah. Jika tidak, mereka mungkin akan memberontak, yang pada akhirnya, tiada kemajuan akan dibuat.
Jika mereka masih tidak berubah, sudah tiba masanya meminta bantuan ahli profesional kesihatan. Ibu bapa perlulah lebih proaktif dalam menangani masalah ini sebelum berlakunya campur tangan pihak luar seperti pihak sekolah atau polis.
Buli siber kini menjadi ancaman yang nyata dan meluas terhadap kesihatan dan keselamatan belia di dalam talian pada hari ini. Isu ini tidak boleh dipandang enteng lagi memandangkan mereka hidup di zaman di mana internet adalah segalanya.

Kepada ibu bapa di luar sana, berikan sepenuh perhatian dan sentiasa peka terhadap anak anda kerana ia dapat membantu untuk mencegah buli siber sebelum ia berlaku.

Nurafifah Mohammad Suhaimi adalah Pembantu Penyelidik di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.