Home Nasional Kanak-kanak lelaki tiga tahun dijangkiti virus polio

Kanak-kanak lelaki tiga tahun dijangkiti virus polio

Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak lelaki bukan warga negara berusia tiga tahun di Sandakan, Sabah disahkan dijangkiti polio.

Kanak-kanak yang tidak pernah menerima vaksin polio sejak lahir ini telah mengalami gejala lemah kaki kiri pada 18 Januari 2020 dan telah dirawat di hospital dan kini berada di dalam keadaan stabil.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes polio ini telah disahkan polio oleh Makmal Rujukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Australia pada 5 Mac lalu.

Menurutnya, sehingga 8 Mac lalu, secara keseluruhan, terdapat empat kes yang telah disahkan polio di Sabah.

Empat kes yang disahkan polio ini melibatkan kanak-kanak berumur tiga bulan dari Tuaran; tiga dan lapan tahun dari Sandakan; serta dan 11 tahun dari Kinabatangan.

Hanya satu kes yang masih dirawat di hospital iaitu kanak-kanak berumur tiga bulan dari Tuaran. Beliau berada dalam
keadaan stabil tetapi masih memerlukan alat bantuan pernafasan.

Tiga daripada empat kes ini juga membabitkan bukan warganegara, yang tidak pernah menerima vaksin polio.

Dr Noor Hisham berkata, semasa aktiviti kawalan dan pencegahan wabak polio dijalankan di lapangan
pada 24 Januari lalu, seorang kanak-kanak perempuan bukan warga negara berumur dua tahun di Semporna telah ditemui mengalami gejala Acute Flaccid Paralysis (AFP).

Dia mengalami demam pada 10 Januari 2020, diikuti dengan lemah kaki hingga tidak dapat berjalan seperti biasa pada 17 Januari 2020, namun tidak dibawa untuk mendapatkan rawatan.

Hasil penelitian panel pakar, kes ini telah diklasifikasikan sebagai polio compatible, memandangkan gejala yang dialami adalah mirip kepada polio.

”Sehingga 8 Mac 2020, sebanyak 13 sampel air kumbahan yang diambil dari beberapa lokasi di Sabah pada tahun 2019 telah dikesan virus polio. Survelan persekitaran ini telah diperluaskan ke semua daerah di Sabah dan semua negeri di Malaysia bagi memastikan virus polio dapat dikesan awal, agar langkah kawalan dan pencegahan dapat dijalankan dengan segera.

”Susulan dari pengesanan virus polio dalam persekitaran, sampel najis turut diambil dari kanak-kanak sihat berumur bawah 5 tahun secara rawak di kawasan yang dikesan virus polio tersebut.

Seorang kanak-kanak sihat berumur 3 tahun (bukan warganegara) di Semporna telah dikesan virus polio dalam sampel najis beliau. Kes ini tidak diklasifikasikan sebagai kes polio berdasarkan garis panduan pembasmian polio global kerana tiada bergejala.

”Kanak kanak ini dipantau dari masa ke semasa dan diberi vaksin oral polio (OPV) bagi membina imuniti badan terhadap jangkitan polio,” ujarnya. – MalaysiaGazette