KUALA LUMPUR – Rakyat diminta memberi sokongan kepada barisan Kabinet yang baharu dilantik agar mereka dapat menjalankan tugas dengan penuh amanah.
Perkara itu ditegaskan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hasan Mad apabila mengharapkan, menteri-menteri yang akan mengangkat sumpah jawatan esok, dapat mengangkat kembali martabat negara agar dihormati dan disegani.
“Pun begitu, dua cabaran amat kritikal perlu ditangani segera iaitu merangsang kembali pertumbuhan ekonomi agar semua rakyat jelata dapat meneruskan kehidupan selesa dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Hassan berkata, MPM serta semua NGO dan individu sekutu merakamkan ucapan tahniah di atas pelantikan Menteri dan
Timbalan Menteri yang akan memperkukuh serta membantu peranan tugas dan tanggungjawab Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai Perdana Menteri dalam mentadbir negara tercinta agar terus kekal maju, makmur, sejahtera dan aman-damai.
Tambahnya, ucapan syabas kepada Muhyiddin kerana dapat menemui satu formula terbaik mengembeleng kepimpinan dan kepakaran dalam membentuk barisan Kabinet yang telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong. – MalaysiaGazette