Home Ekonomi Saham dunia susut paling teruk sejak krisis kewangan

Saham dunia susut paling teruk sejak krisis kewangan

Shanghai Composite jatuh 3%. foto Agensi

WASHINGTON – Saham di seluruh dunia mengalami hari yang paling teruk sejak krisis kewangan dengan kejatuhan dramatik yang membawa kepada “Black Monday”.

Indeks kewangan utama di Amerika Syarikat (AS) ditutup lebih daripada 7%, sementara indeks saham utama London mengakhiri dagangan hampir 8% lebih rendah.

Kejatuhan yang sama berlaku di seluruh Eropah dan Asia seiring dengan Rusia dan Arab Saudi yang menyaksikan kejatuhan harga minyak.

Saham-saham jatuh teruk akibat kebimbangan kesan koronavirus.

Penganalisis menggambarkan tindak balas pasaran sebagai “pembunuhan besar-besaran”.

Di Amerika Syarikat, indeks saham utama jatuh begitu ketara pada awal dagangan, dengan pembelian dan penjualan saham dihentikan selama 15 minit ‘circuit breaker’ bertujuan membendung penjualan panik.

Secara purata Dow Jones Industrial Average turun sebanyak 7.8% atau lebih daripada 2,000 mata – penurunan terbesar dalam sejarah dan penurunan terbesar dalam peratusan sejak krisis kewangan.

Manakala S & P 500 jatuh 7.6% dan Nasdaq susut kira-kira 7.3%.

Kejatuhan pasaran di London menyebabkan firma-firma utama di United Kingdom kerugian 125 bilion pound sterling.

Saham-saham United Kingdom dan AS yang menjunam turut mencerminkan penurunan sama di Eropah dengan indeks pasaran saham utama di Perancis, Jerman dan Sepanyol ditutup susut 7%.

“Terdapat keadaan panik di pasaran sekarang. Keadaan akan menjadi lebih buruk sebelum ia pulih semula,” kata Andrew Lo, Profesor Kewangan di Sekolah Pengurusan Sloan MIT.

Kejatuhan dramatik telah dicetuskan oleh pertikaian antara Arab Saudi dan Rusia ke atas pengeluaran minyak.

Arab Saudi berkata, negara itu akan mengurangkan harga dan mengepam lebih banyak minyak, mencetuskan kebimbangan berlaku perang harga.

Ini berlaku selepas Russia menolak cadangan OPEC untuk memotong bekalan dalam menangani permintaan yang lebih rendah akibat wabak koronavirus.

Semalam, harga penanda aras minyak dunia susut hampir 25%  -penurunan terbesar sejak Perang Teluk pada tahun 1991 sebelum pulih dengan dagangan 20% lebih rendah.

Harga minyak merudum pada tahun ini disebabkan penularan wabak koronavirus di seluruh dunia dengan unjuran permintaan bagi bahan api merosot.

Terdahulu, pasaran Asia juga jatuh dengan ketara, dengan indeks Nikkei 225 Jepun turun 5% manakala ASX 200 Australia merosot 7.3% – kejatuhan harian terbesar sejak 2008.

Di China, Shanghai Composite jatuh 3%, manakala di Hong Kong, indeks Hang Seng merosot 4.2%. – MalaysiaGazette