PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan akan menyediakan satu nota yang mengandungi data lengkap mengenai pembatalan pesawat oleh tiga syarikat penerbangan utama di negara ini akibat kesan penularan penyakit Covid-19.
Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pertama yang bersidang pagi tadi bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya, beliau menerima laporan awal mengenai pembatalan pesawat syarikat penerbangan oleh penumpang yang pernah membeli tiket sebelum ini yang membawa kesan kepada industri penerbangan.
“Disebabkan Covid-19, kalau kita lihat bukan sahaja melibatkan Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang mempunyai pembatalan 63 peratus pesawat seperti dimaklumkan kepada kabinet tadi, Air Asia pula melibatkan pembatalan penerbangan sebanyak 70 peratus dan 510 dikatakan penerbangan Malindo Air.
“Dan ini memberi kesan kepada sektor pelancongan dan juga spin off effect kepada pelancongan lain memang besar.
“Jadi, saya telah ditugaskan untuk meminta supaya pihak kementerian saya dapat sediakan nota yang cukup jelas untuk melihat kesan ekoran pembatalan penerbangan dalam skala besar dan ianya boleh dijadikan rujukan oleh kementerian lain seperti kewangan dan sebagainya untuk kita merangka strategi dan menangani kesan Covid-19 terhadap industri penerbangan,” katanya dalam sidang media khas di kementeriannyahari ini.
Terdahulu Ahli Parlimen Ayer Hitam itu tiba ke pejabat beliau pukul 1.05 petang untuk memulakan hari pertama tugasnya sebagai Menteri Pengangkutan diikuti timbalannya, Hasbi Habibollah dan disambut Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Isham Ishak.
Ka Siong berpendapat, sebagai permulaan itu tugas yang berat yang telah diamanahkan kepadanya untuk menangani wabak berkenaan daripada terus menjejaskan industri penerbangan.
Beliau bagaimanapun menyatakan keyakinan dengan adanya KSU yang berpengalaman, pihaknya boleh bekerjasama sebagai satu pasukan mantap untuk menanganinya secara holistik.
Diminta memperincikan mengenai nota berkenaan, beliau mahu memberi fokus kepada destinasi asal pelancong yang menempah penerbangan yang telah terjejas dan satu pengkalan data lengkap akan disediakan untuk dijadikan rujukan kepada kementerian lain yang juga terlibat dan terkesan dari penularan Covid-19.
“Maka dengan kesemua data ini kita boleh menyusun formula dan strategi baharu untuk menangani situasi itu dan pihak pengurusan tertinggi dan pemain industri yang terlibat akan diajak duduk bersama membincangkan masalah dan kaedah menanganinya.
“Sebab itulah saya memerlukan KSU dan pasukan kementerian di sini, kami memerlukan beberapa butiran terperinci dalam hal ini antaranya peratusan penerbangan yang dibatalkan itu dari benua mana atau destinasi mana termasuk China atau mana-mana di dunia ini berikutan perkembangan terbaharu Covid-19.
“Inilah antara perkara kita perlu fokus dan memahaminya termasuklah kapal layar yang mahu melabuh di check point, yang perlu dikenalpasti segera supaya semua kementerian yang terlibat akan diberi data yang penuh dan tepat bagi membantu menganalisa apa tindakan selanjutnya.,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ka Siong juga memberi jaminan dan menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama serta menerima pandangan dari mantan menteri termasuk Anthony Loke untuk memperkasa urustadbir kementeriannya selepas ini.
Malah, kataya, semua dasar yang sedang dan telah dilaksanakan selama ini akan dilihat semula dan mana-mana dasar yang baik akan diteruskan manakala mana-mana dasar yang memerlukan penambahbaikan akan diperhalusi lagi.
“Bagi tujuan itu kita akan merujuk dan mengambil padangan serta input pakar profesional dan membentangkan laporan kepada saya termasuk rintihan dan keluhan rakyat akar umbi sejajar dengan dasar kepimpinan bersama kerajaan Perikatan Nasional sekarang.
“Saya juga sebelum masuki pejabat telah menghubungi mantan menteri antaranya Datuk Seri Liow Tiong Lai, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan sebagainya untuk mendapatkan input dan nasihat mereka.
“Tahniah kepada timbalan saya juga yang merupakan kenalan lama saya yang mana dulu kami jurutera dalam bidang sama dan saya sedia dengar taklimat pandangan bukan sahaja kakitangan awam di kementerian juga rintihan awam untuk memperbaiki sistem pengangkutan kita,” katanya.
Lagipun ujarnya, kementerian berkenaan bukan asing kepadanya memandangkan beliau pernah menyandang jawatan timbalan menteri sebelum ini sambil berharap hubungan akrab daripada segi perkongsian maklumat antara beliau dan pengamal media terus dipertingkatkan setiap masa.-MalaysiaGazette