PUTRAJAYA – Kementerian Alam Sekitar telah mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan sepanjang cuaca kering menjelang pertengahan April ini.
Menteri baharunya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, walaupun cuaca kering dijangka berakhir, namun pelan itu akan diteruskan bagi mengelakkan aktiviti pembakaran terbuka berleluasa.
“Pelan ini diaktifkan bagi pelaksanaan tindakan pencegahan, pemantauan, pemadaman dan penguatkuasaan dalam menangani pembakaran terbuka oleh Kementerian dan agensi-agensi berkaitan.
“Kementerian juga mengaktifkan Pelan Tindakan Pencegahan Kebakaran Terbuka dan Prosedur Standard Operasi (SOP) Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut.
“Walaupun keadaan cuaca dijangka hanya berakhir pada minggu kedua atau pertengahan April 2020,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Kompleks Kerajaan Parcel F, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim juga mengarahkan kementeriannya untuk menyemak semula Dasar Alam Sekitar Negara (DASN) yang diwujudkan pada 2 Oktober 2002.
“Usaha ini bagi melengkapi dimensi alam sekitar yang terkandung dalam dasar Kebangsaan dan akta lain dengan mengambil kira perjanjian antarabangsa berkaitan pengurusan alam sekitar.
“Kementerian juga akan menyemak semula Dasar Perubahan Iklim 2009 bagi mencadangkan strategi dan pelan tindakan.
“Antaranya tindakan mitigasi dan adaptasi perubahan iklim di peringkat kebangsaan.
“Ia selaras dengan komitmen negara terhadap Konvenysen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Perjanjian Perancis 2016,” katanya lagi. – MalaysiaGazette