Home Politik Muhyiddin mahu Tun M iktiraf kerajaan baharu

Muhyiddin mahu Tun M iktiraf kerajaan baharu

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya mengiktiraf kerajaan yang baharu ditubuhkan kerana ia sah dan mengikut Perlembagaan.

Jelas Perdana Menteri Kelapan itu, beliau telah mengutus sepucuk surat kepada negarawan tersebut dengan tujuan untuk memohon maaf dan meminta pertemuan diadakan.

Bagaimanapun, surat tersebut dijawab dengan penolakan oleh Mahathir, kata Muhyiddin.

“Tun sudah pun memberi jawapan “masanya belum tiba”. Saya bersedia untuk bertemu Tun pada bila-bila masa sahaja demi kepentingan negara ini.

“Saya mahu Tun mengiktiraf kerajaan ini, ini adalah kerajaan untuk rakyat yang mana ianya sah dan berpelembagaan.

“Saya rasa rakyat berharap kerajaan ini boleh berkhidmat kepada mereka,” katanya semasa sidang media selepas mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Muhyiddin bagaimanapun enggan menjawab mengenai syarat yang dikenakan oleh  Mahathir yang mahukan kerajaan baharu tersebut berpisah dengan UMNO.

“Saya tidak tahulah, tak usah panjang-panjang. Tidak elok,” jawabnya ringkas.

Namun begitu, beliau tetap mengucapkan terima kasih kepada Mahathir kerana percaya kerajaan baharu pimpinannya itu mampu untuk bertahan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15.

Pada sidang media yang sama, Muhyiddin mengesahkan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri  Mohamed Azmin Ali bersama 10 rakannya yang lain telah pun diterima masuk untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Permohonan Mohamed Azmin dan rakan-rakannya termasuk Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin telah diluluskan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, katanya.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Buang UMNO, syarat Dr Mahathir jumpa PM

2 Komen

  1. Adakah menjadi suatu kewajipan untuk Atok mengiktiraf kerajaan PN dari segi perlembaggan dan undang2?

    Move on je la, BTW bila nak umum hibah TH? Ramai tertunggu2, kelembapan bukan lah suatu pilihan?

Comments are closed.