Home Utama SRC International: Dzulkifli marah bila dituduh lindungi Najib

SRC International: Dzulkifli marah bila dituduh lindungi Najib

Bekas Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad ketika hadir bagi membantu siasatan kes berkaitan laporan audit membabitkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 05 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Saksi ke-15, Tan Sri Dzulkifli Ahmad menyebut beberapa kali perkataan ‘tohmahan’ ketika perbicaraan SRC International Sdn Bhd melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Malah raut wajah bekas Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu juga kelihatan serius ketika Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram menuduhnya cuba melindungi Najib ketika masih menjawat jawatan Perdana Menteri sekitar tahun 2016.

Ada kalanya beliau tampak seperti hilang sabar kerana dituduh bertalu-talu oleh Sithambaram ketika perbicaraan yang sudah masuk hari ke-91 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Timbalan Pendakwa itu mencadangkan kepada saksi apa yang berlaku adalah sandiwara oleh SPRM serta Jabatan Peguam Negara ketika itu cuba mendakwa Najib mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Sithambaram kemudiannya menuduh SPRM dan Jabatan Peguam Negara bertindak membersihkan nama Najib dengan mengarahkan no futher action (NFA) bagi kes berkenaan.

Sithambaram: Saya cadangkan kepada anda, itu adalah satu sandiwara kerana keputusan telah di ambil untuk tidak tuduh Najib?

Dzulkifli: Ini satu tohmahan, tidak betul dan tidak benar sama sekali.

Penjelasan lanjut berkaitan kertas siasatan lanjut’ adalah sangat penting untuk mengetahui sama ada kes itu boleh dibuktikan atau tidak, dalam hal elemen pendakwaan yang dicadangkan.

Sithambaram: Tan Sri, ini hak saya untuk tanya, kamu jawab sahaja ya atau tidak.

Dzulkifli: Yelah, saya jawab soalan kamu, itu satu tohmahan. Cuma saya mahu terangkan dengan lanjut dakwaan itu.

Sithambaram: Jadi tidak benar? Begitu kata kamu?

Dzulkifli: Ya, tidak benar.

Sithambaram: Pejelasan lanjut oleh SPRM tidak lebih daripada untuk cover up Najib? Setuju atau tidak?

Dzulkifli: Tidak benar, ini tohmahan kepada pasukan pendakwaan.

Sithambaram: Keputusan NFA kes SRC, 1MDB adalah berdasarkan keterangan setakat 26 Jan 2016?

Dzulkifli: Ya, setakat 26 Januari 2016.

Dalam pada itu, Dzulkifli yang juga bekas Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya SPRM mendedahkan pihaknya juga ada mencadangkan supaya seramai empat pengarah SRC International untuk didakwa.

Itu termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil; Pengarah syarikat, Datuk Suboh Md. Yassin dan dua pengarah SRC yang beliau tidak ingat namanya.

Kata Dzulkifli lagi, wang yang masuk ke akaun peribadi Najib tidak boleh dianggap sebagai satu semestinya kesalahan.

“Aliran masuk wang tidak semestinya boleh dianggap sebagai satu kesalahan melainkan jika ia telah dibuat dengan pengetahuan dan mala fide (niat jahat) atau mens rea (niat untuk melakukan suatu kesalahan),” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh peguambela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali sebentar tadi. –MalaysiaGazette