PUTRAJAYA – Menteri Belia dan Sukan yang baharu, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menjadikan Sukan Olimpik Tokyo pada Julai ini sebagai keutamaan segera dalam tempoh terdekat ini.
Ahli Parlimen Kepala Batas itu berkata, buat masa ini beliau tidak mahu meletakkan sesuatu sasaran yang terlalu jauh.
Jelas beliau, impian rakyat Malaysia melihat atlet negara pertama dikalungkan pingat emas perlu direalisasikan.
“Untuk tempoh pendek dan segera, keutamaan saya adalah Sukan Olimpik Tokyo yang menjadi sasaran utama untuk mendapat pingat emas
“Kita tidak perlu menyasarkan yang jauh dahulu ketika ini.
“Hasil taklimat secara ringkas kepada saya, kita di landasan tepat untuk menggapai impian untuk mendapat pingat emas pertama Sukan Olimpik.
“Kita menjangka 35 atlet akan beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan 26 atlet di Sukan Paralimpik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas memasuki kementeriannya pada hari pertama di sini hari ini.
Beliau yang tiba pukul 12.45 tengahari disambut timbalannya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Dr Waitchalla R R V Suppiah.
Mengulas penularan wabak COVID-19 yang menjejaskan persiapan atlet negara dan penangguhan kejohanan tertentu, Reezal berkata, pihak akan mendapat pandangan dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan sebelum membuat apa jua keputusan.
“Setakat ini lima negara telah dikenal pasti di mana atlet negara tidak terlibat iaitu China Jepun Korea Itali dan Iran.
“Ada negara sudah mengambil langkah drastik perlawanan tanpa penonton dan Serie A yang telah ditangguh.
“Di negara ini kita masih meneliti dan bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan,” katanya. – MalaysiaGazette