Home Utama Ada kemungkinan kes LTTE dibuka semula

Ada kemungkinan kes LTTE dibuka semula

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Jamil Rakon (dua kiri) menyampaikan sijil penghargaan anugerah, Yuliati Yahaya dari Jabatan Sukarelawan Malaysia pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2019 di Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 12 MAC 2020

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri tidak menolak kemungkinan akan membuka semula kes individu yang didakwa terbabit dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin bagaimanapun berkata ia bergantung kepada taklimat terperinci selain akan berbincang dengan semua pegawai-pegawai tertinggi di kementeriannya.

“Kita tengok apa yang patut kita lakukan. Isu pengganas bukan hanya masalah dalam negara tetapi ianya masalah dunia.

“Kita perlu bersama dengan segala maklumat yang kita dapat. Kalau ianya perlu diambil tindakan yang sewajarnya, saya hendak ambil tindakan yang tegas.

“Tindakan yang tegas itu adalah sesuatu yang mengikut undang-undang dan perlembagaan yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019 Kementerian Dalam Negeri (KDN) di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau ditanya sama ada kes LTTE akan dibuka semula selepas digugurkan Tan Sri Tommy Thomas ketika menjadi peguam negara.

Artikel berkaitan: LTTE: DAP gembira semua tahanan sudah dilepaskan Mahkamah Tinggi hari ini

LTTE: Peguam Negara tiada kuasa – Muhyiddin

Tommy mengambil keputusan meletak jawatan pada 28 Februari lalu susulan perubahan Kerajaan di negara ini.

Sebelum itu, beliau telah menggunakan kuasa budi bicara bagi memberhentikan prosiding perbicaraan terhadap 12 individu kerana didakwa terlibat dengan kumpulan LTTE.

Tommy juga mengeluarkan arahan untuk tidak meneruskan prosiding terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya dari DAP, P Gunasekaran, serta ADUN Gadek dari DAP, G Saminathan kerana melibatkan diri dengan kumpulan pengganas dari Sri Lanka itu. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Bukak balik. Keadilan utk semua. Jgn biarkan penyokong pengganas bermaharaja lela… Pengajaran utk semua.

Comments are closed.