DUBAI – Arab Saudi akan melancarkan program untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran untuk pertama kalinya dalam tempoh satu dekad – memberi isyarat kepada Rusia dan pesaing lain yang negara itu sudah bersedia untuk ‘berperang’ melepasi tahap pengeluaran dan bahagian pasaran.
Anggota OPEC, Emiriah Arab Bersatu (UAE), turut berikrar untuk mempercepatkan rancangannya meningkatkan kapasiti.
Harga minyak susut hampir separuh sejak Januari lalu selepas rundingan antara OPEC dengan negara-negara lain termasuk Rusia dan pengeluar lain untuk mengurangkan bekalan gagal mencapai kata sepakat.
Susulan itu semua had pengeluaran dibatalkan selepas Moscow menolak hasrat OPEC untuk meneruskan pengurangan pengeluaran minyak.
Malah Arab Saudi dan UAE memaklumkan akan meningkatkan pengeluaran minyak masing-masing.
Selain itu, Arab Saudi dan UAE mahu meningkatkan kapasiti untuk jangka panjang bagi menguasai semula pasaran daripada syarikat-syarikat Amerika Syarikat dan pengeluar lain yang meningkatkan pengeluaran semasa OPEC dan sekutunya mengurangkan bekalan.
Perlumbaan untuk penguasaan bahagian pasaran sudah bermula dan anda perlu bertaruh dengan Arab Saudi kerana mereka adalah negara yang mempunyai kapasiti ,” kata Gary Ross, pengasas BlackGold Investors.
Saudi Aramco merancang untuk meningkatkan keupayaan pengeluarannya kepada 13 juta tong sehari berbanding daripada 12 juta tong sehari, kata ketua eksekutif firma minyak negara, Amin Nasser, sambil menambah Aramco bertindak atas perintah dari Kementerian Tenaga.
“Syarikat itu berusaha keras untuk melaksanakan arahan ini secepat mungkin,” katanya.
UAE pula berkata, ia akan mempercepatkan rancangan untuk menaikkan kapasiti kepada 5 juta tong sehari, sasaran yang sebelum ini disasarkan untuk dicapai pada tahun 2030.
Kapasitinya dijangka menjadi 4 juta tong sehari menjelang akhir tahun 2020.
Walau bagaimanapun, Riyadh dan Abu Dhabi tidak memberikan tempoh masa untuk pelan pengembangan kapasiti, yang memerlukan bilion dolar pelaburan untuk dibelanjakan dalam beberapa tahun sehingga selesai. – MalaysiaGazette